Home Koronavirus Bayi kembar 5 bulan antara 84 penduduk positif Covid-19

Bayi kembar 5 bulan antara 84 penduduk positif Covid-19

0
Bayi kembar 5 bulan antara 84 penduduk positif Covid-19

BACHOK – Bayi kembar perempuan berusia lima bulan antara 84 penduduk di Kampung Pauh Lima di sini yang disahkan positif Covid-19 setakat Rabu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, selain bayi kembar berkenaan, sembilan lagi ahli keluarganya turut dijangkiti Covid-19 termasuk ibu bapanya, datuk serta neneknya.

“Datuk dan nenek mereka yang berusia 60-an terlebih dahulu disahkan positif selepas ke klinik kerana bergejala demam serta selesema, manakala bayi itu juga selesema semasa menjalani ujian saringan Covid-19,” katanya kepada pemberita ketika lawatan ke Pusat Saringan Covid-19 di Masjid Pauh Lima di sini pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Covid-19 menular sejak 7 Mei lalu di Kampung Pauh Lima melibatkan lokasi yang bersempadanan antara Bachok dan Kota Bharu membabitkan 1,032 penduduk.

Pada masa sama, tular dakwaan mengatakan kumpulan kariah yang mengadakan solat berjemaah secara bersembunyi di dalam gelap dan secara rapat-rapat hingga tercetus penularan pandemik di kampung berkenaan.

Dr Zaini berkata, berdasarkan keterangan ahli kariah yang positif Covid-19 di Kampung Pauh Lima ada yang mengaku terhadap dakwaan solat berjemaah di sebuah surau di kampung berkenaan, namun ada juga yang menafikan dakwaan itu.

“Tidak ada bukti jelas berkait hal ini, namun hasil keterangan pesakit ada yang mengaku tetapi sebahagian lagi tidak mengaku. Cuma pemantauan di surau mendapati tidak ada rekod data jemaah, alat saringan suhu ataupun tanda-tanda untuk penjarakan fizikal.

“Saya ingatkan kepada penduduk supaya menjadikan kes Kampung Pauh Lima sebagai pengajaran dan tetap patuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Menurut beliau, sehingga tengah hari Rabu, seramai 423 daripada 1,032 penduduk yang menjalani saringan ujian Covid-19 dan dijangka selesai sepenuhnya pada Khamis ini.

“Seramai 90 penduduk hadir memberi kerjasama baik menjalani ujian swab di khemah saringan yang dipindahkan dari Surau Al-Ahmadiah, Pauh Lima ke kawasan lebih luas di Masjid Kampung Pauh Lima, Bachok.

“Daripada 84 yang positif itu antaranya sembilan kanak-kanak berusia sehingga 12 tahun termasuk bayi kembar perempuan berusia lima bulan berkenaan,” katanya.

Penduduk menjalankan swab bermula 17 Mei lalu selepas penularan Covid-19 dikesan di Kampung Pauh Lima pada 7 Mei daripada seorang warga emas berusia 62 tahun.

Bayi antara yang menjalani swab bagi mengesan kes positif Covid-19 yang menular dalam kalangan 1,032 penduduk di Kampung Pauh Lima yang bersepadanan di dua daerah Bachok dan Kota Bharu.

Penduduk Kampung Pauh Lima, Bachok antaranya terdiri daripada kanak-kanak yang turun menjalankan ujian swab Covid-19 di khemah saringan di Masjid Pauh Lima, Bachok pada Rabu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here