KUALA LUMPUR – Seramai 24,642,379 individu atau 75.5 peratus daripada populasi keseluruhan negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19, setakat Isnin.
Berdasarkan data portal CovidNow, 78.3 peratus atau 25,550,899 daripada populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Seramai 22,228,388 individu atau 95 peratus daripada populasi dewasa pula telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.
Sementara itu, 97.6 peratus atau 22,828,481 daripada populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.
Bagi populasi remaja pula, seramai 2,413,991 individu atau 76.7 peratus telah melengkapkan dua dos dan 2,722,418 individu atau 86.5 peratus mendapat satu dos.
Sementara itu, data kemajuan program imunisasi mengikut negeri bagi populasi keseluruhan menunjukkan hanya Kedah, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Sabah masih merekodkan kadar vaksinasi di bawah 70 peratus.
Terdapat pertambahan 116,642 dos diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi dewasa dan remaja.
Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah 50,656,181 dos.
PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan suntikan vaksin kepada rakyat Malaysia untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara. – Awani