Home Koronavirus Pesakit Covid-19 kanak-kanak meningkat: APHM

Pesakit Covid-19 kanak-kanak meningkat: APHM

0
Pesakit Covid-19 kanak-kanak meningkat: APHM

SHAH ALAM – Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) mendapati berlaku tren peningkatan pesakit Covid-19 kanak-kanak dalam tempoh satu hingga dua minggu kebelakangan ini.

Presidennya, Datuk Dr Kuljit Singh berkata, tren tersebut dikesan apabila persatuan itu melakukan tinjauan dalam kalangan ahlinya.

Bagaimanapun jelas beliau, terdapat juga beberapa hospital swasta melaporkan tiada kemasukan pesakit Covid-19 kanak-kanak.

“Kebanyakan hospital swasta tidak melaporkan sejumlah besar pesakit kanak-kanak Covid-19 yang rumit dengan sindrom keradangan pelbagai sistem dalam kanak-kanak (MIS-C) yang dikaitkan.

“Tetapi terdapat beberapa kes yang berkembang menyebabkan komplikasi berlaku dan ia amat membimbangkan jika terdapat peningkatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Kuljit berkata, pakar pediatrik di hospital swasta telah dimaklumkan mengenai perkembangan terbaharu pengurusan komplikasi berkaitan pesakit Covid-19 kanak-kanak.

Jelasnya, program vaksinasi bagi kanak-kanak berusia antara lima dan 11 tahun sudah bermula di beberapa hospital swasta dan ibu bapa digesa mendapatkan suntikan untuk anak mereka setelah diberikan tarikh.

“Sangat penting untuk melindungi kanak-kanak daripada mendapat komplikasi Covid-19 kerana keadaan MIS-C boleh menjadi cabaran untuk mengurus dan merawat,” ujarnya.

Beliau berkata, bagi golongan dewasa pula, kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun jika dibandingkan dengan pertengahan gelombang tahun lalu.

“Bilangan kecil kemasukan ICU kami adalah dengan pesakit yang mempunyai penyakit lain, tidak divaksinasi atau tanpa melengkapkan dos penggalak,” katanya.

Jelas Dr Kuljit, hospital swasta tidak pernah menggunakan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 sejak permulaan wabak kerana ia telah terbukti tidak berkesan.

“Kami akan berpegang kepada rawatan berasaskan bukti dengan bimbingan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here