Home Koronavirus Penamatan libatkan klinik swasta dari PICK untuk tempoh sementara

Penamatan libatkan klinik swasta dari PICK untuk tempoh sementara

0
Penamatan libatkan klinik swasta dari PICK untuk tempoh sementara

KUALA LUMPUR – Penamatan penglibatan pengamal perubatan am swasta (GP) dari Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Lembah Klang, diputuskan setelah meneliti pelbagai faktor seperti kapasti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) jumlah vaksin, bekalan vaksin, dan bilangan penduduk yang masih perlu diimunisasi.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan bersama pada Khamis berkata, keputusan yang diambil untuk tempoh sementara waktu itu sejajar dengan cara PICK dilaksanakan, iaitu dengan mengusahakan agar kadar vaksinasi dicatatkan pada kadar tinggi secepat yang mungkin.

Menurut kenyataan itu kadar vaksinasi itu kemudiannya akan menurun secara berperingkat apabila semakin ramai menerima suntikan vaksin Covid-19.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 700 klinik swasta dihentikan penglibatannya dari PICK dan ramai menggesa keputusan itu dipertimbangkan semula bagi membantu kelancaran program imunisasi negara.

Menurut KKM dan MOSTI, penglibatan GP yang bermula sejak Mei lepas telah menyumbang kepada kejayaan operasi lonjakan kapasiti baru-baru ini yang telah menyaksikan sebahagian besar penduduk Lembah Klang divaksin.

“Sehingga kini 1,688 daripada kira-kira 7,000 GP di seluruh Malaysia terlibat dalam PICK. Pada 24 Ogos 2021, daripada 32,212,527 dos vaksinasi yang diberikan di seluruh negara di bawah PICK, hampir 1,087,813 juta dos telah diberikan oleh GP.

“Jumlah ini ialah 3.4 peratus daripada keseluruhan vaksin yang diberi di bawah PICK. Selain GP, terdapat 471 organisasi lain yang terdiri daripada hospital swasta, tempat persendirian dan industri yang terlibat dalam PICK,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan terdapat pelbagai jenis PPV yang melibatkan pengamal perubatan swasta iaitu PPV Pengamal Am, GPV Klinik Pakar, PPV Hospital Swasta, PPV Pusat Jagaan Ambulatori, PPV Integrasi, PPV Industri dan usaha-usaha program jangkauan oleh GP serta NGO.

Menurutnya vaksinasi di semua PPV Integrasi juga dikendalikan oleh pengamal perubatan swasta.

“Misalnya PPV Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) yang mempunyai kapasiti harian 23,000 dos suntikan dikendalikan oleh lapan Organisasi Penjagaan Kesihatan (HCO), melibatkan lebih 576 petugas serta 192 penyuntik sehari, iaitu lebih kurang 24 penyuntik bagi setiap HCO.

“Beberapa PPV juga yang pada mulanya dikendalikan oleh KKM, telah diambil alih oleh pengamal perubatan swasta. Contohnya, di PPV Sunway Pyramid Convention Centre, sebanyak 52,451 dos telah diberikan sewaktu KKM mengendalikan PPV itu bermula 26 April 2021,” kata kenyataan itu.

“Di Lembah Klang, 438,812 dos atau 3.6 peratus daripada keseluruhan jumlah dos telah dikendalikan oleh 760 GP daripada jumlah pemberian vaksin COVID-19,” menurut kenyataan itu.

“Kami ingin menyeru GP, terutamanya di Lembah Klang untuk terus teguh bersama kami dalam menjayakan PICK. Kami percaya, sekiranya gandingan yang kita saksikan selama ini terus diperkukuhkan, perjuangan memerangi Covid-19 akan pastinya menghasilkan satu kejayaan demi negara,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here