Home Koronavirus Pulau Perhentian ditutup elak jangkitan Covid-19

Pulau Perhentian ditutup elak jangkitan Covid-19

0
Pulau Perhentian ditutup elak jangkitan Covid-19

SETIU – Operasi di Pulau Perhentian ditutup sementara kepada orang ramai bagi mengelak jangkitan susulan berlaku penularan 75 kes Covid-19 di lokasi peranginan terbabit.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, keputusan penutupan lokasi peranginan di negeri ini bergantung kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).

Menurut beliau, perincian mengenainya akan diketahui selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Terengganu pada Khamis.

“Kerajaan negeri menyerahkan kepada MKN dan JKNT untuk memutuskan status operasi pulau-pulau sama ada boleh diteruskan atau sebaliknya berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Buat masa ini, hanya operasi di Pulau Perhentian sahaja yang ditutup sementara, manakala lokasi-lokasi lain seperti Pulau Redang, Kapas dan Tenggol masih dibenarkan operasi seperti biasa,” katanya ketika ditemui pemberita ketika tinjauan ke tapak naik taraf jalur lebar 4G di Kampung Payong, Setiu pada Khamis.

Ariffin berkata, penutupan sementara Pulau Perhentian sejak Jumaat bagi mengawal pergerakan penduduk dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di lokasi terbabit.

Difahamkan, setakat ini sebanyak 75 kes positif Covid-19 dikesan Pulau Perhentian dipercayai kerana pergerakan keluar masuk penduduk kampung dan pekerja resort ke tanah besar, Besut.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ariffin berkata, pemberian dos kedua vaksin Covid-19 kepada penduduk dan penggiat pelancongan di Pulau Perhentian yang dijadualkan hujung minggu ini terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain.

Berdasarkan rekod, sehingga 6 Ogos lalu, seramai 979 penduduk dan penggiat pelancongan di Pulau Perhentian telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui program outreach vaksinasi oleh Jabatan Pelancongan negeri serta beberapa agensi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here