Home Koronavirus Omicron: Indonesia pertimbang tukar peraturan kuarantin

Omicron: Indonesia pertimbang tukar peraturan kuarantin

0
Omicron: Indonesia pertimbang tukar peraturan kuarantin

JAKARTA – Indonesia senantiasa menilai langkah-langkah keselamatan sedia ada untuk melindungi rakyatnya daripada Covid-19 dan varian Omicron selepas kes pertama melibatkan varian baharu tersebut dikesan di republik itu minggu lalu.

Beberapa langkah yang sedang dibincangkan termasuk melanjutkan kuarantin wajib untuk ketibaan antarabangsa kepada 14 hari berbanding 10 hari.

“Perbincangan sedang berjalan berdasarkan kepada perkembangan situasi varian baharu itu,” kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan.

Beliau berkata, pihak berkuasa mungkin membuka Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya sebagai pintu masuk kedua untuk pengembara antarabangsa berikutan peningkatan ketibaan jumlah pelancong di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta Jakarta.

Luhut meminta pegawai negeri dan rakyat supaya tidak melancong ke luar negara, sekurang-kurangnya sehingga keadaan Covid-19 bertambah baik.

“Saya mohon anda semua pertimbang untuk tidak ke luar negara dan menangguhkan semua perjalanan tidak penting. Kami tidak mahu situasi sukar seperti Julai lepas berulang kembali.”

Indonesia telah mengatasi India pada 13 Julai, sebagai pusat baharu pandemik di Asia, dengan jangkitan harian melebihi 40,000 kes selama dua hari berturut-turut, dua minggu selepas perayaan Aidilfitri.

Sementara itu, Indonesia menambah lebih banyak negara ke dalam senarai larangan kemasukannya pada Isnin, selepas tiga kes import varian Omicron dikesan dengan sejarah perjalanan dari Nigeria, Amerika Selatan dan United Kingdom (UK).

Negara yang telah dimasukkan ke dalam senarai merah ialah UK, Norway, dan Denmark manakala Hong Kong dikeluarkan daripada senarai.

Sebelum ini, Indonesia telah mengenakan larangan kepada bukan warganegara yang dalam tempoh 14 hari lepas pernah mengunjungi Afrika Selatan, Botswana, Namibia, Zimbabwe, Lesotho, Mozambique, Eswatini, Malawi, Angola dan Zambia.

Di peringkat domestik, pentadbiran Presiden Joko Widodo telah melanjutkan sekatan aktiviti awam di luar Jawa dan Bali sehingga sekurang-kurangnya 3 Januari 2022 disebabkan cuti Krismas dan Tahun Baharu.

Dalam ucapannya pada Isnin, presiden menyeru semua kementerian dan agensi supaya sepakat dalam melaksanakan komitmen masing-masing untuk menghadapi tempoh kritikal pada Disember.

Menurut Kementerian Kesihatan Indonesia, jumlah kes positif Covid-19 yang disahkan meningkat sebanyak 216 berbanding hari sebelumnya kepada 4,260,893 kes setakat 21 Disember.

Angka korban pula sebanyak 11 ke 144,024 dan jumlah pesakit yang pulih meningkat 205 kepada 4,112,040 manakala Indonesia telah memberikan 261 juta dos vaksin Covid-19. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here