Home Koronavirus Satu kluster baharu di Jempol

Satu kluster baharu di Jempol

0
Satu kluster baharu di Jempol

.SEREMBAN- Terdapat penambahan satu kluster baharu Covid-19 di laporkan di Negeri Sembilan melibatkan Kluster Merpati Serting di Jempol menjadikan 11 kluster yang masih belum diisytiharkan tamat di negeri ini.

Exco Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, 11 kluster itu membabitkan sembilan kluster tempatan dan dua kluster import.

“Kluster ini mula dilaporkan pada Selasa melibatkan sebuah pusat pengajian swasta di Jalan Merpati, Kampung Serting Ulu, Jempol.

“Ia bermula dengan saringan bergejala seorang kakitangan pusat pengajian itu pada 15 Disember yang positif,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Jelasnya, susulan itu, satu saringan melibatkan kesemua pelajar dan guru pada 18 Disember lepas dan sehingga Selasa seramai 45 orang disaring dan keputusan mendapati seramai 20 positif, 24 negatif dan seorang masih menunggu keputusan.

“Kesemua kontak rapat dan kes telah dikenalpasti dan telah diberikan arahan kuarantin.

“Pusat pengajian ini ditutup dari 18 sehingga 28 Disember ini dan aktiviti disinfeksi telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jempol,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, sehingga Selasa, jam 12 tengah hari, terdapat 95 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS).

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes berkenaan sebanyak 112,292 kes dan jumlah keseluruhan kes kematian akibat wabak sebanyak 1,309,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here