Home Koronavirus Malaysia bersama negara anggota Pasifik Barat perangi Covid-19

Malaysia bersama negara anggota Pasifik Barat perangi Covid-19

0
Malaysia bersama negara anggota Pasifik Barat perangi Covid-19

KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus memerangi wabak Covid-19 bersama negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi rantau Pasifik Barat, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, mengambil kira kejayaan langkah-langkah kesihatan awam sebelum ini dalam melandaikan lekuk penularan Covid-19, Malaysia kini memperhebatkan usaha mencapai imuniti kelompok menerusi proses vaksinasi termasuk kelompok masyarakat terpinggir.

“Tiada siapa selamat sehingga semua orang selamat. Kami tidak sabar untuk bersama-sama menamatkan pandemik ini dan mencegah pandemik seterusnya dengan memastikan dunia yang lebih sihat, selamat dan adil,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebooknya pada Selasa.

Dr Noor Hisham berkata, Malaysia sekali lagi disahkan sebagai anggota Lembaga Pengarah Eksekutif WHO rantau Pasifik Barat bagi penggal 2021-2024.

“Malaysia sebelum ini pernah berkhidmat sebagai ahli Lembaga Eksekutif WHO sebanyak tiga kali dan amat berterima kasih untuk mewakili rantau Pasifik Barat untuk tempoh empat tahun lagi.

“Kami akan memanfaatkan peluang ini untuk menggalakkan pembedahan yang selamat dan mampu di rantau ini selain agenda kesihatan global yang lain. Sebagai rantau, kita boleh dipacu bersama untuk memberi tumpuan kepada isu kesihatan menerusi perkongsian strategik,” katanya.

Beliau berkata, dengan keyakinan diletakkan ke atas Malaysia oleh negara anggota lain di rantau Pasifik Barat, negara akan melakukan yang terbaik untuk menyokong wawasan satu pelan kesihatan oleh Pengarah Serantau, Dr Takeshi Kasai untuk mewujudkan rantau ini paling sihat dan selamat di dunia.

Dr Noor Hisham berkata, sesi penutupan Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-74 mengenai krisis kesihatan awam secara global diadakan semalam dan ia tahun kedua berturut-turut diadakan secara maya ekoran pandemik Covid-19.

Majlis penutupan itu lebih signifikan bagi Malaysia berikutan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan kenyataan negara sebagai sebahagian daripada ucapan peringkat tinggi bersama pemimpin kerajaan Australia, Azerbaijan, Bhutan, Korea Selatan dan Afghanistan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here