Home Koronavirus Saifuddin kongsi detik kritikal dijangkiti Covid-19

Saifuddin kongsi detik kritikal dijangkiti Covid-19

0
Saifuddin kongsi detik kritikal dijangkiti Covid-19

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah pada Selasa berkongsi detik kritikal dialaminya ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh kerana dijangkiti Covid-19, apabila beliau mengalami sesak nafas setelah bacaan oksigen berada di paras rendah iaitu 70 peratus.

“Pokoknya jangan main-main dengan Covid-19. Saya antara yang bernasib baik kerana duduk di Hospital Sungai Buloh selama 16 hari. Lima hari itu saya di wad pemerhatian dan satu pagi yang tidak boleh saya lupakan ialah paras oksigen rendah iaitu pada 70 peratus dan sesak nafas. Memang itu adalah masa kritikal, jururawat datang setengah jam duduk sebelah saya nasihat macam mana bernafas dengan betul.

“Alhamdulillah paras oksigen saya naik ke minimum yang mereka boleh terima, kalau tidak saya masuk unit rawatan rapi (ICU).

“Hari Raya kedua saya discaj dan ya paru-paru saya terjejas,” katanya yang menceritakan pengalaman beliau dijangkiti Covid-19 serta mengakui mudah merasa penat akibat jangkitan itu.

Berkongsi pengalaman tersebut kepada media selepas majlis penyerahan Dana Kandungan Digital Muzik (DKD Muzik) berjumlah RM6 juta kepada 960 penggiat muzik tanah air yang diadakan secara dalam talian pada Selasa, Saifuddin berkata, selain perlu divaksinasi, individu juga perlu memastikan sistem imunisasi kuat sebagai pertahanan terhadap virus Covid-19.

Saifuddin berkata, sebelum dijangkiti Covid-19 pada 29 April lalu, beliau berhajat menerima vaksin bersama pengamal media dengan menjaga segala prosedur operasi standard (SOP), namun kini tidak dapat bersama pengamal media untuk menerima vaksin kerana perlu menunggu tarikh yang sesuai selepas dijangkiti.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) meneruskan pelbagai pengisian berkaitan Covid-19 dalam menyalurkan maklumat dan mendidik masyarakat tentang pandemik itu.

“Sekarang tumpuan diberi di kawasan pantai timur yang nampaknya kurang sambutan vaksin. Radio RTM di Kelantan, Terengganu, Pahang memainkan peranan dalam membantu masyarakat dari segi pendaftaran vaksin dan kempen mengambil vaksin. Kita kena buat apa cara sekalipun sebab kita nak capai matlamat vaksin seramai mungkin rakyat,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here