Home Koronavirus MAIK, JKNK tidak kenakan bayaran urus jenazah Covid-19

MAIK, JKNK tidak kenakan bayaran urus jenazah Covid-19

0
MAIK, JKNK tidak kenakan bayaran urus jenazah Covid-19

KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) tidak mengenakan apa-apa bayaran ke atas waris untuk pengurusan jenazah Covid-19.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman dan Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin dalam satu kenyataan bersama pada Khamis memaklumkan, MAIK dan JKNK memandang serius terhadap kenyataan daripada pihak-pihak tertentu yang cuba mengaitkan nama MAIK dan JKNK secara tidak bertanggungjawab dalam isu bayaran pengurusan jenazah melampau yang dikenakan terhadap pewaris jenazah Covid-19.

“MAIK melalui pegawai-pegawai masjid khususnya masjid bandar dan jajahan sentiasa bersedia untuk menguruskan jenazah Covid-19 di hospital khususnya urusan tayammum dan solat jenazah sekiranya dihubungi oleh pihak-pihak yang berkaitan sama ada pihak waris kepada si mati atau pihak hospital,” kata kenyataan tersebut.

MAIK berkata, pihaknya juga telah mengeluarkan surat makluman kepada semua pengarah hospital di Kelantan berkaitan saguhati untuk petugas tayammum iaitu pegawai masjid di bawah MAIK jika khidmat mereka digunakan.

Malah tambah kenyataan itu, tidak ada senarai petugas yang dikeluarkan oleh MAIK kecuali makluman tentang kesediaan pihak MAIK membantu urusan ini melalui pegawai masjid di bawah MAIK.

“Pihak MAIK dan JKNK juga mengambil maklum bahawa terdapat badan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan khidmat pengurusan jenazah secara percuma di Kelantan termasuk di hospital.

“Kami menyeru semua waris jenazah Covid-19 menghubungi pegawai masjid bandar dan jajahan di seluruh Kelantan untuk menguruskan ahli keluarga mereka yang meninggal dunia akibat wabak berkenaan,” kata kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here