Home Koronavirus Ibu Pejabat MBSP ditutup sehari untuk sanitasi

Ibu Pejabat MBSP ditutup sehari untuk sanitasi

0
Ibu Pejabat MBSP ditutup sehari untuk sanitasi

BUKIT MERTAJAM – Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di Bandar Perda ditutup pada Jumaat selama satu hari bagi menjalankan kerja-kerja sanitasi.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, penutupan itu dibuat atas nasihat Safety and Health Executive (SHE) MBSP supaya pengoperasian ibu pejabat ditutup sepenuhnya selain meneliti pola peningkatan kes baharu Covid-19 di kalangan kakitangan MBSP dan komuniti Seberang Perai.

“Tujuan penutupan ini adalah untuk menjalankan kerja-kerja sanitasi keseluruhan bangunan pejabat, mengurangkan risiko jangkitan dalam kawasan Menara Bandaraya dan seterusnya melaksanakan komitmen pengurusan tertinggi yang sentiasa memandang serius isu-isu berkaitan keselamatan serta kesihatan pekerja.

“Berikutan itu, semua janji temu yang telah ditetapkan sebelum ini ditangguh ke satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Rozali berkata, urusan bayaran cukai pintu, permohonan lesen, bayaran kompaun serta perkhidmatan lain boleh dilakukan melalui Cyber Counter di laman www.mbsp.gov.my atau platform bayaran MBSPPay dan agensi kutipan yang dilantik.

Jelas beliau, tugas-tugas Perkhidmatan Pungutan Sampah (PPS), pemotongan rumput di taman-taman rekreasi, penyelenggaraan landskap dan penyelenggaraan infrastruktur berjalan seperti biasa.

Katanya, operasi di pejabat cawangan, kawalan keselamatan pejabat, pemantauan pematuhan SOP Covid-19 di pasar, di tempat-tempat awam, premis perniagaan, kilang, taman rekreasi berjalan seperti biasa.

“Jabatan Pengurusan Krisis, Skuad Khas Bencana, Respond Team Penyelenggaraan, Respond Team Pokok Tumbang dan Bencana sentiasa dalam keadaan bersedia untuk bertindak ketika menghadapi bencana.

“Ibu Pejabat MBSP akan beroperasi semula pada 16 Ogos (Isnin) dan orang ramai tidak perlu bimbang untuk berurusan di MBSP kerana MBSP telah mengambil langkah perlu untuk keselamatan kakitangan dan pengunjung yang berurusan dengan MBSP,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here