Home Koronavirus Kluster kilang penyumbang terbesar kes positif Covid-19

Kluster kilang penyumbang terbesar kes positif Covid-19

0
Kluster kilang penyumbang terbesar kes positif Covid-19

GEORGETOWN – Kluster tempat kerja yang kebanyakan daripada sektor industri perkilangan di Pulau Pinang antara penyumbang terbesar kes positif Covid-19 di negeri ini.

Exco Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, kluster terbabit menyumbang kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan kes yang dicatatkan sehingga hari ini.

Menurutnya, kes positif membabitkan kluster itu semakin meningkat selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan selepas Pulau Pinang memasuki fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal Julai lalu.

“Daripada keseluruhan 8,668 kes positif yang dilaporkan antara 1 Jun hingga 14 Julai lalu, sebanyak 6,222 kes merupakan daripada kluster tempat kerja terutama sektor perkilangan.

“Siasatan dijalankan mendapati antara punca peningkatan jangkitan itu adalah menjurus kepada penempatan pekerja warga asing yang melibatkan percampuran antara lebih 10 buah kilang dalam satu kawasan penempatan atau asrama pekerja.

“Peningkatan kes juga berlaku disebabkan fasiliti kediaman atau rumah yang tidak sesuai di samping jumlah penghuni melebihi kapasiti dihadkan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti berkata, sepanjang tahun ini sehingga 28 Ogos, sebanyak 246 kilang turut diarahkan tutup di seluruh negeri ini selepas dikesan berlakunya kes jangkitan Covid-19.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 135 buah kilang terletak di daerah Seberang Perai Tengah (SPT); Barat Daya (47); Seberang Perai Selatan (29); Seberang Perai Utara (27) dan Timur Laut (8).

Jumlah itu jelas beliau, jauh lebih tinggi berbanding hanya 17 buah kilang yang diarahkan tutup sepanjang tahun lalu iaitu 15 buah di Barat Daya serta masing-masing satu di SPT dan SPS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here