Home Koronavirus KKM perlu siap siaga hadapi sebarang kemungkinan

KKM perlu siap siaga hadapi sebarang kemungkinan

0
KKM perlu siap siaga hadapi sebarang kemungkinan

BUKIT MERTAJAM – Tahap penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi kes Covid-19 di Pulau Pinang masih di tahap terkawal iaitu 19 peratus.

Penyelaras Pengurusan Covid-19 Pulau Pinang antara kerajaan negeri dan persekutuan, Steven Sim Chee Keong berkata, walaupun kadar penggunaan katil masih terkawal namun kerajaan Persekutuaan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

Menurutnya, di Pulau Pinang 99.6 peratus kes Covid-19 yang dilaporkan merupakan kes 1 dan 2 sama ada tidak bergejala atau bergejala ringan sahaja.

“Saya telah menghubungi pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan dimaklumkan kadar penggunaan katil ICU masih berada di tahap terkawal iaitu lebih kurang 19 peratus.

“JKNPP mengesahkan kapasiti tambahan boleh digerakkan bila perlu bagi menampung peningkatan kes seterusnya,”katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Chee Keong yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, pihaknya menyeru KKM agar memantau keadaan peningkatan kes Covid-19 dan tidak mengulangi kesilapan dahulu apabila lewat menyediakan kemudahan kesihatan tambahan.

Jelasnya, berikutan kesilapan lalu itu seperti menyediakan katil tambahan di ICU mengakibatkan kehilangan nyawa pesakit.

Sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri bersiap siaga menghadapi gelombang perebakan Covid-19 varian Omicron berikutan lonjakan jumlah kes Covid-19 di negeri ini.

Kon Yeow berkata, JKNPP memaklumkan peningkatan kes di Pulau Pinang dalam tempoh seminggu ini adalah dijangkakan yang mana kini berlakunya perebakan gelombang Omicron dalam komuniti.

“Sehingga kini, kes-kes yang dilaporkan adalah membabitkan kategori 1 serta kategori 2A dan jumlah kemasukan ke hospital masih dalam keadaan terkawal.

“Walaupun terdapat peningkatan pesakit ke Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Kecemerlangan MARA (MEC), jumlahnya masih terkawal dan pemantauan lanjut diteruskan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here