SEREMBAN – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan gelombang kecil subvarian Omicron XBB Covid-19 di negara ini dan mengjangkakan berlaku sedikit peningkatan kes wabak berkenaan beberapa minggu akan datang.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata, namun orang ramai masih boleh menjalankan kehidupan seperti biasa dan tidak merasa bimbang tetapi perlu sentiasa berwaspada.
“Kita dah kesan XBB di Malaysia namun setakat ini ia tidak membawa kepada peningkatan dari segi kemasukan ke hospital dan kematian.
“Itu yang menjadi kayu ukur terpenting bagi saya, kita tengok ada sedikit peningkatan, masing-masing buat penilaian risiko, ‘nothing to worry about for now’,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sejauh mana ia akan meningkat ia belum dapat di pastikan.
“Pegawai saya di KKM sedang membuat unjuran berdasarkan kepada model jangkitan yang kita ada sebelum ini dan minggu depan saya dapat memberi unjuran yang lebih tepat.
“Walaupun kemungkinan berlaku peningkatan kes berkenaan di negara ini, KKM tidak mempunyai perancangan untuk mengembalikan sebarang sekatan termasuk pelaksanaan kembali pemakaian pelitup muka pada masa ini.
“Fasa peralihan endemik mesti mengambil kira mutasi virus kepada varian baharu, kalau datang varian baharu tidak dijangkakan yang boleh meningkatkan kebolehjangkitan, kesan dan gejala maka kita akan semak balik (pakai pelitup muka), tetapi setakat ini tidak,” katanya.
**media[1952626]**
Tambahnya, setakat ini tiada langkah tambahan dilaksanakan terhadap individu yang berulang-alik dari Johor Baharu ke Singapura.
” Kita akan sentiasa memantau dan berhubung dengan Menteri Kesihatan Singapura Ong Ye Kung berhubung perkara tersebut,” katanya.
Kementerian Kesihatan Singapura sebelum ini dilapor memaklumkan kes Covid-19 di Singapura kembali meningkat sejak sebulan lepas berpunca terutama oleh subvarian Omicron XBB dengan gelombang jangkitan XBB dijangkakan memuncak pada pertengahan November ini.
Dalam perkembangan berlainan, Khairy berkata, KKM telah memberikan cadangan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya pengundian pada PRU15 ini dapat dijalankan dengan baik dan selamat.
“Saya lihat keadaan terkawal jadi kita tak nak apa-apa sekatan, nak buat ceramah, buatlah, cuma kalau rasa tempat sesak pakailah pelitup muka, sekarang ini lebih kepada pemerkasaan individu,” katanya.