Home Koronavirus Perkhidmatan Pusat Mediasi Covid-19 tamat Ahad ini

Perkhidmatan Pusat Mediasi Covid-19 tamat Ahad ini

0
Perkhidmatan Pusat Mediasi Covid-19 tamat Ahad ini
Wan Junaidi – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Pusat Mediasi Covid-19 (PMC-19) yang ditubuhkan pada 11 November 2020 secara rasminya akan ditamatkan pada Ahad ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sehubungan itu, pautan bagi permohonan mediasi di laman sesawang www.pmc.19.gov.my akan ditutup pada 11.59 malam, esok.

Beliau berkata, PMC-19 berperanan membantu orang awam menyelesaikan pertikaian yang berbangkit daripada ketidakupayaan untuk melaksanakan apa-apa obligasi kontraktual yang timbul ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan wabak Covid-19.

“PMC-19 berjaya membantu Keluarga Malaysia menyelesaikan pertikaian kontrak akibat pelaksanaan PKP dan penularan Covid-19 secara baik tanpa melibatkan proses perbicaraan di mahkamah. Penyelesaian pertikaian melalui pengantaraan ini terbukti berkesan kerana lebih pantas, menjimatkan kos dan menawarkan penyelesaian menang-menang kepada masyarakat,” katanya.

Sepanjang penubuhan PMC-19, sebanyak 290 kes dirujuk ke pusat itu dan daripada jumlah itu, 79 kes diselesaikan dengan nilai pertikaian terkumpul berjumlah RM3.8 juta.

PMC-19 ditubuhkan di bawah Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 (Akta 829).

Menurut Wan Junaidi, pengantaraan (mediasi) yang dilaksanakan di bawah PMC-19 adalah secara sukarela dan nilai pertikaian yang boleh dirujuk adalah tidak melebihi RM500,000 kecuali pertikaian berhubung kontrak pembinaan.

Beliau berkata, perkhidmatan pengantaraan percuma di bawah PMC-19 disokong mediator (pengantara) yang digerakkan oleh Majlis Peguam di Semenanjung Malaysia, Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) di Sabah dan Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) di Sarawak.

“Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada pegawai dan kakitangan PMC-19, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri yang telah berkhidmat sepanjang penubuhan PMC-19 serta pengantara di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak yang menjayakan inisiatif itu.

“Kerajaan menghargai semua pihak yang telah membantu pelaksanaan PMC-19 dan Keluarga Malaysia yang terus menyokong inisiatif kerajaan dalam membantu pihak terkesan akibat pelaksanaan PKP di sepanjang tempoh penularan wabak Covid-19,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here