SHAH ALAM – Sukar untuk menggambarkan perasaan seorang sukarelawan yang sudah menguruskan beratus jenazah Covid-19 namun akhirnya terpaksa melalui detik sukar apabila terpaksa mengebumikan jenazah ibu sendiri yang juga meninggal dunia akibat wabak itu.
Abdul Razak Nordin, 34, berkata, pada Isnin lalu dia melalui ujian yang berat apabila mengebumikan ibunya sendiri, Patimah Ibrahim, 68 dan tidak menyangka Covid-19 Pneumonia meragut nyawa wanita kesayangannya itu.
Katanya, punca kematian ibunya yang menghembuskan nafas terakhir di rumah keluarganya di Seksyen 20, Shah Alam pada 11.30 malam Ahad itu hanya diketahui selepas dia diberitahu oleh doktor di Hospital Shah Alam.
“Pada malam itu, apabila kakak ipar saya mendapati emak sudah tidak bernafas, dia terus menghubungi saya dan memaklumkan mengenai perkara itu.
“Kemudian abang saya terus membawa emak ke Hospital Shah Alam.
Pada ketika itu, kami adik beradik tidak jangka emak positif Covid-19.
“Emak saya disahkan positif Covid-19 pada jam 4 pagi selepas doktor melakukan ujian rapid antigen (RTK-Ag).
Saya tersentak dan memikirkan bagaimana saya dan adik beradik hendak bersama-sama menguruskan jenazah emak kerana jenazah pesakit Covid-19 tidak boleh diuruskan oleh waris,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Selasa.
Bagaimanapun, Abdul Razak yang merupakan anak bongsu daripada tujuh adik beradik itu berkata, dia sangat beruntung kerana dibenarkan untuk menguruskan jenazah ibunya memandangkan secara kebetulan dia adalah salah seorang sukarelawan Pengurusan Jenazah Covid-19 (PJC-19).
Justeru, dia merasa bersyukur kerana dapat mewakili ayah dan ahli keluarganya untuk menyempurnakan hasrat ibunya yang mahu jenazahnya diuruskan dan diiringi oleh anak-anaknya sehingga ke liang lahad.
“Antara harapan emak waktu hayatnya masih ada adalah mahu anak-anak lelakinya menguruskan jenazah dia sekiranya meninggal dunia.
“Alhamdulillah, memandangkan saya salah seorang ahli PJC-19, saya berpeluang untuk mewakili keluarga melaksanakan harapan emak,” ujarnya.
Tambah Abdul Razak, dengan bantuan rakan sukarelawan yang lain, adik beradik dan ahli keluarganya dapat menyaksikan pengebumian ibunya di tanah Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 melalui siaran langsung di Facebooknya.