Home Koronavirus Jepun sorok kes varian Lambda?

Jepun sorok kes varian Lambda?

0
Jepun sorok kes varian Lambda?

TOKYO – Pada 20 Julai lalu, tiga hari sebelum pembukaan temasya Olimpik Tokyo 2020, satu kes jangkitan varian Lambda telah dilaporkan di lapangan terbang di Jepun, namun dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

Ia diklasifikasikan sebagai varian mempunyai kepentingan (VOI), walaupun maklumat tentangnya masih baharu dan dikatakan lebih mudah menular serta mungkin menjejaskan keberkesanan vaksin Covid-19 sedia ada.

Jepun didakwa menyembunyikan kes jangkitan virus paling berbahaya itu walaupun kebimbangan semakin meningkat tentang ancaman Lambda di tengah-tengah penularan varian Delta yang menyebabkan lonjakan kes jangkitan secara luar biasa di seluruh dunia.

Ia hanya didedahkan kepada orang ramai hampir tiga minggu selepas kes jangkitan Lambda itu dikenal pasti tanpa memberi sebab jelas ia berbuat demikian.

Laporan itu ditemui dalam rekod penjejakan varian Inisiatif Global mengenai Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID) yang mengesan virus bermutasi Covid-19 di setiap negara. GISAID mendapati kes jangkitan Lambda dikenal pasti di Tokyo melalui individu asimptomatik yang melakukan perjalanan dari Peru.

Individu tersebut kemudiannya menjalani kuarantin di lapangan terbang. Pihak berkuasa cuba meredakan kekhuatiran banyak pihak dengan menyatakan ia percaya Lambda tidak menular dalam kalangan komuniti tempatan.

Punca sebenar pihak berkuasa tidak mendedahkan kes jangkitan Lambda itu terus mencetuskan tanda tanya.

Segelintir pihak membuat spekulasi ia mungkin bertujuan untuk melindungi penganjuran Sukan Olimpik di tengah-tengah musim pandemik bagi mengelakkan ia dibatalkan sekali lagi. Ia hanya didedahkan pada Jumaat minggu lalu menjelang penghujung acara berprestij itu.

Vaksin China efektif

Namun begitu, pakar China mendakwa vaksin dihasilkan mereka masih berkesan terhadap Lambda ketika negara itu kini sedang bergelut dengan peningkatan kes jangkitan domestik akibat penularan Delta.

Mereka turut menekankan kepentingan langkah fizikal untuk mencegah kes jangkitan import virus bermutasi.

Global Times memetik kenyataan pakar berpusat di Beijing bahawa beliau percaya Lambda tidak akan menjadi virus dominan di Jepun atau Hemisfera Utara memandangkan kini musim panas.

Suhu panas dikatakan tidak sesuai untuk penyebaran virus bermutasi itu yang pertama kali dikesan di Hemisfera Selatan.

Bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada ia akan mengatasi Delta sebagai varian dominan menjelang musim sejuk akan datang.

Seorang lagi pakar berpusat di Guangzhou, Zhuang Shilihe mengambil langkah untuk meredakan kebimbangan ramai dengan menyatakan Lambda kini hanya menular di Amerika Selatan dan wilayah tertentu di seluruh dunia.

Peratusan kes jangkitan baharu virus bermutasi itu juga dikatakan menunjukkan penurunan.

“Kajian terbaharu di negara Amerika Selatan seperti Peru dan Chile menunjukkan vaksin Covid-19 dihasilkan China masih berkesan terhadap varian baharu,” ujarnya.

Ancaman Delta

Menurut GISAID, peratusan kes jangkitan mingguan disebabkan Lambda di Amerika Selatan menurun daripada 7.52 peratus yang direkodkan pada 21 Jun kepada 4.9 peratus pada 8 Ogos lalu.

Ketika ini, penularan Delta terus menjadi cabaran utama kebanyakan negara khususnya rantau Asia yang menyaksikan beberapa negara kembali melaksanakan langkah lockdown bagi membendung virus tersebut.

Kira-kira 12 bulan lalu, kejayaan rantau Asia Pasifik mencegah jangkitan Covid-19 telah menjadi contoh kepada kebanyakan negara ketika wabak itu menyebabkan lonjakan kes jangkitan di Amerika Syarikat (AS) dan benua Eropah.

Situasi berubah kini apabila dari Seoul hingga Sydney dan Bangkok hingga Beijing terpaksa melaksanakan semula lockdown akibat ancaman Delta selain kadar vaksinasi yang masih rendah serta program inokulasi bergerak perlahan akibat kekurangan bekalan vaksin Covid-19.

Di Asia Tenggara, Thailand kini bergelut dengan kemunculan kluster baharu berikutan Delta kini menular di lebih banyak wilayah dengan kira-kira 60 peratus daripada kes jangkitan baharu direkodkan di luar pusat wabak di Bangkok.

Sementara itu, kes jangkitan Delta di Sydney telah mencapai rekod baharu dan ibu negeri New South Wales itu didakwa gagal untuk mendatarkan keluk walaupun pelaksanaan lockdown selama hampir enam minggu. – Agensi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here