GEORGETOWN – Jumlah individu yang mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera di Pulau Pinang masih di bawah kadar 10 peratus sejak pendaftaran melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dibuka bulan lalu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, setakat 4 Mac, hanya 113,672 individu mendaftar untuk menerima vaksin itu daripada 1.3 juta penduduk Pulau Pinang.
“Oleh yang demikian, saya mengajak semua rakyat Pulau Pinang agar segera mendaftar sebagai penerima vaksin, jangan menunggu bermulanya Fasa 2 dan Fasa 3 baru mula daftar,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Menurutnya, secara umum vaksin Fasa 1 diberikan kepada petugas barisan hadapan iaitu seramai 5,172 orang telah menerima suntikan vaksin di negeri ini sehingga 7 Mac lalu.
Bagaimanapun Kon Yeow menjangkakan jumlah pendaftaran penerima vaksin di negeri itu akan meningkat menjelang Mei dan Jun selepas bermulanya Fasa 2 dan Fasa 3 PICK.
Beliau turut menyarankan kerajaan Persekutuan agar memberikan tarikh suntikan vaksin Covid-19 lebih awal kepada mereka yang telah mendaftar, bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap program berkenaan.
“Langkah ini dapat menggalakkan rakyat untuk segera mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 lebih awal,” katanya.
Sementara itu, Kon Yeow yang telah menerima vaksin pada 28 Februari lalu berkata, beliau tidak mengalami sebarang gejala selain sedikit kesakitan di bahagian suntikan pada 36 jam pertama selepas disuntik.
“Saya tidak merasa apa-apa kesan sampingan selepas menerima suntikan selain rasa sakit sedikit di bahagian yang disuntik dan saya percaya ini adalah proses yang lazim dirasai oleh semua penerima suntikan (vaksin Covid-19) yang lain,” katanya. – Bernama