Home Koronavirus Harga siling vaksin di klinik, hospital swasta perlu selaras

Harga siling vaksin di klinik, hospital swasta perlu selaras

Harga siling vaksin di klinik, hospital swasta perlu selaras

SHAH ALAM – Kerajaan digesa supaya menyelaraskan harga siling perkhidmatan pemberian vaksin Covid-19 di semua klinik dan hospital swasta di seluruh negara.

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman, ia bagi mengelakkan sebarang persepsi kemungkinan ada pihak yang mengambil keuntungan atas angin berikutan peningkatan permintaan terhadap vaksin.

“Saya berpendapat harga siling bagi perkhidmatan terbabit wajar diselaraskan bagi mengelakkan adanya pihak yang mengambil kesempatan memandangkan permintaan terhadap vaksin semakin meningkat.

“Pendekatan yang sama juga perlu diambil seperti perkhidmatan klinikal yang ditawarkan klinik dan hospital swasta sebelum ini,” kata Malina kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, ia bukan perkara baharu dan sudah dimaklumkan oleh semua pengamal perubatan.

“Cuma sekarang ini sebab kita ada vaksin baharu dan sebelum ini pun pihak hospital dan klinik swasta juga menawarkan perkhidmatan pemberian vaksin-vaksin lain. Ia sepatutnya tidak menjadi isu,” katanya.

Pada masa sama, Malina berkata, dengan pembukaan lebih banyak pusat-pusat pemberian vaksin, beliau berharap perkhidmatan vaksin kepada warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU) dibuka secara walk-in.

Beliau melontarkan isu ini memandangkan masih ramai yang kurang mahir menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Isu ini bukan kes-kes terpencil, ia adalah sebahagian pengalaman saya di lapangan,” ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here