Home Koronavirus 10,000 penduduk terlibat PKPD di Pekan Bayan Lepas

10,000 penduduk terlibat PKPD di Pekan Bayan Lepas

10,000 penduduk terlibat PKPD di Pekan Bayan Lepas

GEORGETOWN – Sebanyak 13 lokaliti di sekitar Pekan Bayan Lepas, Mukim 12 Barat Daya akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan melibatkan kira-kira 10,000 penduduk bermula esok hingga 17 Jun depan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang berkata, pelaksanaan PKPD itu melibatkan kawasan seluas 35 hektar dengan 2,380 unit kediaman serta 83 buah premis komersial.

Menurutnya, arahan pelaksanaan PKPD itu dikeluarkan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes dengan 83 kes baharu dalam tempoh dua minggu, menjadikan jumlah kes 250.

Beliau berkata, ujian saringan yang dilakukan ke atas kontak rapat menunjukkan kadar positiviti 19.6 peratus manakala saringan komuniti adalah 10.7 peratus.

“13 lokaliti akan dikenakan PKPD bermula esok sehingga 17 Jun. Prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat di kawasan ini akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh terdekat.

“Hasil semakan, seramai 42 kakitangan MBPP didapati tinggal di kawasan tersebut dan mereka juga diarahkan berada di kawasan masing-masing sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam sidang akhbar menerusi aplikasi Zoom pada Rabu.

Tung Seang berkata, seramai 33 pekerja perkhidmatan pembersihan MBPP akan ditempatkan untuk membersihkan kawasan berkenaan sepanjang perintah PKPD dilaksanakan.

Jelasnya, semua pekerja dinasihatkan agar menjaga SOP ketika bertugas.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, semua penduduk yang terlibat dinasihatkan menjaga SOP sepanjang pelaksanaan PKPD.

Katanya, keputusan yang dibuat MKN itu adalah untuk kebaikan bersama demi menurunkan kes di kawasan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here