Home Koronavirus Dua rumah panjang dikenakan PKPD, tiga lagi kluster baharu di Sarawak

Dua rumah panjang dikenakan PKPD, tiga lagi kluster baharu di Sarawak

0
Dua rumah panjang dikenakan PKPD, tiga lagi kluster baharu di Sarawak

KUCHING – Dua lagi rumah panjang di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) manakala tiga lagi dilanjutkan tempoh pelaksanaan PKPD.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan PKPD di Rumah Luyoh (Pakan) bermula sejak semalam hingga 1 Jun manakala PKPD di Rumah Sat (Pakan) bermula hari ini (Isnin) hingga 2 Jun.

Tempoh pelanjutan PKPD pula dikuatkuasakan ke atas Rumah Setia (Sarikei) dari 18 hingga 19 Mei, Rumah Dinggai (Pakan) dari 20 hingga 26 Mei dan Rumah Rapit (Sarikei) dari 19 hingga 21 Mei.

PKPD yang tamat ialah Rumah Asin/Rumah Bidu (Pakan), Rumah Empeni anak Budom (Meradong), Rumah Nawing (Meradong) dan Rumah Jembu anak Ensor (Betong).

Menurut kenyataan itu, Sarawak hari ini merekodkan 433 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan 38,816 kes dan terdapat satu kematian baharu akibat jangkitan itu sekali gus menjadikan angka korban setakat ini ialah 225 orang.

Kenyataan sama menyebut Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan tiga lagi kluster baharu iaitu di Kuching, Lundu dan Bau.

“Kluster Jalan Sultan Tengah di Kuching merupakan satu kluster tempat kerja yang dikesan melibatkan pekerja sebuah pusat peranginan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Kluster Stunggang Melayu merupakan kluster komuniti yang dikesan di Kampung Stunggang Melayu manakala Kluster Jalan Jambusa melibatkan satu perhimpunan keluarga sempena sambutan Hari Ibu yang diadakan di sebuah premis kediaman. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here