Home Koronavirus Pendaftaran vaksin fasa dua, tiga di Melaka masih rendah

Pendaftaran vaksin fasa dua, tiga di Melaka masih rendah

0
Pendaftaran vaksin fasa dua, tiga di Melaka masih rendah

MELAKA – Pendaftaran untuk menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa Dua dan Tiga di Melaka masih rendah apabila hanya 46 peratus atau 322,808 individu daripada 701,000 penduduk telah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera sehingga semalam.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, selain itu, individu yang memenuhi kriteria Fasa Dua melibatkan pesakit kronik, warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) masih rendah apabila hanya 109,145 orang (43.7 peratus) daripada sasaran 250,000 individu telah mendaftar sejak ia mula dibuka pada 19 April lepas.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa mengadakan pelbagai program untuk menggalakkan dan membantu pendaftaran vaksin antaranya menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam kalangan komuniti.

“Selain itu, program ‘Info on Wheels dan Pendaftaran Vaksinasi’ di bazar Ramadan oleh Jabatan Penerangan, promosi di pasar raya, pembukaan kaunter pendaftaran vaksin di masjid-masjid oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka serta program promosi pendaftaran vaksin oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).

“Bagi masyarakat terpinggir dan di pedalaman seperti Orang Asli, kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah memulakan program penerangan berkaitan program imunisasi untuk memastikan masyarakat berkenaan menerima maklumat yang betul dan tepat bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam program imunisasi ini,” menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

Rahmad juga berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka telah bekerjasama untuk menjalankan aktiviti pemberian vaksin kepada warga emas di pusat jagaan serta institusi warga emas oleh pasukan bergerak dari setiap daerah untuk memberikan vaksin kepada golongan itu bermula 24 Mei ini.

Beliau berkata, penglibatan klinik swasta di Melaka dalam pemberian vaksin Fasa 2 juga akan bermula esok membabitkan sembilan klinik iaitu tiga pada 18 Mei (Klinik Bukit Katil 24 Jam Taman Merak, Poliklinik Bukit Katil Saujana dan Poliklinik Hidayah Krubong).

Katanya, enam lagi iaitu Poliklinik Hidayah Batu Berendam, Poliklinik Wahidah Ayer Keroh, Poliklinik Fasya Bukit Beruang, Qualitas Health Klinik Mano, Mega Klinik Zahran Taman Lagenda dan Klinik Kok dan Surgeri Alor Gajah pada 25 Mei.

“Selain itu, penglibatan hospital swasta dalam pemberian vaksin Fasa 2 juga telah bermula pada 10 Mei lepas yang menyaksikan pemberian vaksin dengan kerjasama Hospital Melaka dan hospital swasta dijalankan di hospital swasta melalui Program Outreach Bahagian Perubatan.

“Seramai 684 penerima vaksin telah disuntik di empat hospital swasta iaitu Hospital Pantai (120 orang), Hospital Putra (126), Hospital Mahkota (294) dan Hospital Oriental (144) pada 10 Mei lalu,” katanya.- Bernama

TAG: COVID-19, vaksin, individu, MySejahtera, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here