Home Koronavirus Dua PIKAS di NS berjalan lancar

Dua PIKAS di NS berjalan lancar

0
Dua PIKAS di NS berjalan lancar

SEREMBAN – Pengurusan pemvaksinan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Awam-Swasta (PIKAS) d’Tempat Country Club, Sendayan dan Cattelaya Senawang berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang membimbangkan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pihaknya berpuas hati dengan pergurusan dan perjalanan pemberian vaksin di dua PIKAS ini.

Beliau berkata, setakat ini kawalan dapat dilakukan dengan baik dan pihaknya juga telah memaklukan kepada pihak pengurusan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

“Alhamdulillah, setakat ini saya berpuas hati dan kita juga tidak menerima sebarang aduan membabitkan PIKAS, seperti mana berlaku di tempat lain.

“Kalau ada aduan, sila maklumkan kepada saya, agar kami boleh mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Misi Prihatin Covid-19 (Siri 2) anjuran My Sarawak Club, Perwira Malaysia dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di perkarangan IPD Seremban pada Jumaat.

Hadir sama, Penaung Perwira Malaysia, Datuk Dr Yunus Rahmat dan Pengasas MySarawak merangkap Penasihat Perwira Malaysia, Afandi Nordin.

Setakat 16 Ogos lalu, seramai 50,524 pekerja sektor industri di Negeri Sembilan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menerusi dua PIKAS yang dibuka di negeri ini manakala 19,296 lagi telah melengkapkan suntikan vaksin dos kedua.

Sebelum ini media melaporkan polis sentiasa memantau tahap pematuhan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam kalangan warga asing di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan semua Ketua Polis Negeri sudah mengambil maklum mengenai tindakan pemantauan dan kawalan PPV bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Pada awal Ogos lalu, ratusan pekerja asing membanjiri Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di Seksyen 7, Shah Alam Selangor dengan beratur sepanjang satu kilometer seawal jam 8.30 pagi untuk mendapat giliran untuk vaksinasi.

Kebanyakkan mereka dipercayai dari kilang sekitar dan luar daerah ini didapati gagal mematuhi penjarakan fizikal satu meter yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here