Home Koronavirus Covid-19: 331 individu kini dikuarantin di tiga PKRC Labuan

Covid-19: 331 individu kini dikuarantin di tiga PKRC Labuan

0
Covid-19: 331 individu kini dikuarantin di tiga PKRC Labuan

LABUAN – Seramai 331 individu yang merupakan kontak rapat pesakit Covid-19 berada di tiga pusat kuarantin di sini setakat Ahad, kata Pengarah Kesihatan, Labuan Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 163 orang ditempatkan di pusat kuarantin berisiko rendah di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan dengan separuh daripada mereka merupakan wanita dan beberapa kanak-kanak.

Pusat kuarantin di asrama Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri pula menempatkan 42 individu, sementara 126 lagi dimasukkan ke pusat kuarantin berisiko tinggi di Hospital Nukleus Labuan dengan tujuh daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menerima bantuan termasuk 200 katil daripada Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan bagi menampung keperluan berikutan peningkatan jumlah individu yang dimasukkan ke pusat kuarantin.

Labuan merekodkan 253 kes baharu dengan satu kluster baharu dikesan di Simpang Sungai serta satu kematian pada Sabtu. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here