Home Koronavirus Lima lagi PPV mega dibuka di Lembah Klang: Khairy

Lima lagi PPV mega dibuka di Lembah Klang: Khairy

0
Lima lagi PPV mega dibuka di Lembah Klang: Khairy

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menambah lima lagi pusat pemberian vaksin (PPV) mega di Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti pemberian vaksin bermula 7 Jun ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, sebanyak tiga PPV mega akan dibangunkan di Selangor dan dua lagi di Kuala Lumpur.

“Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) telah buat keputusan untuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksin di Lembah Klang. Saya sudah maklumkan pada Menteri Besar Selangor.

“Di Selangor kita akan tambah tiga PPV mega iaitu di The Mines, UiTM Puncak Alam dan Setia City Convention Centre, manakala di Kuala Lumpur ialah di Kuala Lumpur Convention Centre dan pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil,” katanya selepas melawat PPV di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Ahad.

Khairy berkata, lebih banyak stesen suntikan dan dewan akan dibuka di PPV MITEC yang akan memulakan operasinya pada Isnin bagi melancarkan proses pemberian vaksin secara besar-besaran.

Khairy berkata, kapasiti suntikan harian untuk PPV di MITEC pada Isnin ialah lebih 2,000 namun beliau menyasarkan lokasi itu menampung lebih 6,000 suntikan sehari.

Katanya, beliau akan ke Pulau Pinang dan Johor minggu depan bagi membincangkan pembukaan PPV mega di kedua-dua negeri itu.

Mengenai pemberian vaksin secara pandu lalu, Khairy berkata, beliau akan mengeluarkan arahan dan garis panduan mengenainya pada Isnin untuk semua negeri yang mahu melaksanakan sistem itu.

Khairy berkata, beberapa negeri sudah meminta kebenaran untuk menjalankan sistem itu susulan keputusan projek rintis pemberian vaksin secara pandu lalu di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan yang memberangsangkan.

“Saya minta tempoh 24 jam untuk mengeluarkan garis panduan pelaksanaan pemberian vaksin pandu lalu ini. Kita perlu pastikan ada garis panduan keselamatan, tak boleh pandu lalu, terus cucuk (vaksin) dan terus pergi. Kena ada tempoh pemantauan. Idea itu bagus dan kita telah timbang,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here