Home Koronavirus ‘Bukan tugas KKM hantar pesakit Covid-19 sembuh pulang’

‘Bukan tugas KKM hantar pesakit Covid-19 sembuh pulang’

0
‘Bukan tugas KKM hantar pesakit Covid-19 sembuh pulang’

KOTA BHARU – Proses menghantar pesakit Covid-19 yang sudah sembuh dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) ke rumah masing-masing bukan bidang tugas yang perlu dilaksanakan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin bagaimanapun berkata, proses itu sebaliknya adalah inisiatif sendiri yang diambil oleh beberapa PKRC di negeri ini bagi membantu meringankan beban bekas pesakit pandemik itu.

“Usaha itu dilakukan menerusi kerjasama beberapa agensi seperti Pejabat Majlis Daerah dan ia bukanlah satu kewajipan pihak kami untuk berbuat demikian,” katanya selepas diminta mengulas berhubung satu video yang tular di laman sosial menunjukkan seorang wanita yang tidak berpuas hati dengan layanan pihak KKM semasa menerima rawatan di sebuah PKRC di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika turun padang melihat gerak kerja petugas JKNK di PKRC Gelanggan Seni, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, JKNK mengambil serius dakwaan tersebut dan telah melakukan siasatan untuk mengetahui punca sebenar perkara itu berlaku.

Katanya, JKNK akan turut melihat aspek komunikasi yang perlu diperkemaskan lagi terutama dalam penyampaian maklumat supaya masalah salah faham tidak lagi berlaku selepas ini.

“Kita terpaksa mengubah suai gerak kerja bagi memastikan kakitangan kesihatan tidak terkena jangkitan itu memandangkan jumlah mereka agak terhad.

“Selain berhadapan dengan mobilisasi petugas kesihatan yang dihantar ke negeri luar susulan peningkatan kes Covid-19,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memakluman bahawa, pesakit yang dibenarkan pulang daripada PKRC sudah bebas daripada wabak dan tiada masalah untuk mereka sekiranya mahu menggunakan perkhidmatan awam seperti teksi dan perkhidmatan e-hailing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here