Home Koronavirus Tun M optimis Langkawi bakal terima 5,000 dos vaksin CanSino

Tun M optimis Langkawi bakal terima 5,000 dos vaksin CanSino

0
Tun M optimis Langkawi bakal terima 5,000 dos vaksin CanSino

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad optimis penduduk Langkawi bakal menerima sekurang-kurangnya 5,000 dos vaksin tunggal, CanSino selepas keperluan itu dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut Dr Mahathir, suntikan vaksin itu sebagai persediaan bagi melindungi penduduk di lokaliti tertentu daripada jangkitan Covid-19 apabila aktiviti pelancongan di pusat peranginan tersebut dibuka semula.

“Insya-ALLAH ia dapat dilakukan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Selasa.

Tambah Dr Mahathir, beliau sudah mendapat taklimat daripada Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr Mansor Ismail berkenaan status program vaksinasi di pulau berkenaan.

“Setakat 22 Ogos, sebanyak 56.6 peratus daripada jumlah penduduk Langkawi telah lengkap disuntik dengan dos kedua. Namun masih ada yang enggan menerima vaksin.

“Saya bimbang kerana pulau ini akan dibuka semula kepada pelancong awal pada September nanti. Kes juga masih meningkat,” ujarnya.

Malaysia akan memulakan pemberian vaksin satu dos selepas menerima sejumlah 200,000 dos vaksin CanSino yang datang dalam bentuk produk siap (finished product) daripada pembekal CanSino Biologics, China pada Jumaat lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here