KOTA BHARU – Fasiliti kesihatan di Kelantan bersedia menangani sebarang peningkatan kes Covid-19 berikutan pengumuman pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ketika ini, pihaknya masih menunggu prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikeluarkan untuk melakukan persediaan lebih terperinci.
”Kita tidak tolak kemungkinan akan berlaku peningkatan kes Covid-19 sekiranya sempadan negara dibuka nanti, namun mungkin ia hanya akan melibatkan kes bagi kategori satu dan dua.
“Malah, jika dilihat kes harian Covid-19 di negeri ini telah melebihi 1,500 kes sehari tetapi 98 peratus daripada jumlah kes itu hanya berada dalam kategori 1 dan 2,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.
Dr Zaini berkata peratusan penduduk Kelantan yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 juga amat baik, sekali gus dapat mengurangkan risiko penularan.
“InsyaALLAH ia (keadaan) akan terkawal, apa yang penting adalah kepatuhan masyarakat terhadap SOP norma baharu,” katanya.
Terdapat tiga pintu sempadan di negeri ini iaitu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Bunga, Tanah Merah; Rantau Panjang, Pasir Mas dan Pengkalan Kubor, Tumpat.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa mengumumkan sempadan negara akan dibuka semula pada 1 April ini. – Bernama