Home Koronavirus Kerajaan terus prihatin, lindungi rakyat dari Covid-19

Kerajaan terus prihatin, lindungi rakyat dari Covid-19

0
Kerajaan terus prihatin, lindungi rakyat dari Covid-19

SHAH ALAM – Kerajaan akan terus prihatin dan melindungi rakyat daripada penularan jangkitan Covid-19 walaupun negara beralih ke fasa peralihan endemik bermula 1 April depan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurut beliau, proses peralihan juga perlu disusuli dengan perubahan daripada bergantung intervensi kerajaan kepada solidariti komuniti dan tanggungjawab individu.

“Kerajaan akan terus beri perlindungan melalui program vaksinasi yang berterusan terutama dos penggalak dan untuk kanak-kanak.

“Kerajaan juga akan mempertingkatkan lagi pilihan rawatan bagi mereka yang telah dijangkiti Covid-19 dengan ubat ubatan yang baru seperti antiviral yang akan tiba pada akhir bulan ini.

“Seterusnya, kerajaan akan terus memantau kes positif yang sedang isolasi dan sedang pulih di rumah,” katanya dalam sidang akhbar berkenaan peralihan ke endemik yang disiarkan secara langsung menerusi beberapa platform media sosial, pada Rabu.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April ini.

Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.

Menurut Khairy, setakat ini, kerajaan telah berjaya mengedarkan dua juta pakej penjagaan Covid-19 iaitu kepada 57 peratus daripada keluarga B40 dan selebihnya akan diterima pada bulan ini.

Bagi solidariti komuniti pula, beliau berkata, ia adalah lebih kepada pematuhan di peringkat masyarakat itu sendiri.

“Kita tidak lagi mahu melihat pematuhan ini dipaksa melalui saman atau undang-undang. Tetapi lebih daripada kesedaran komuniti.

“Majikan juga perlu mainkan peranan dengan memastikan tempat kerja selamat, mempunyai pengudaraan yang baik. Majikan juga boleh menggalakkan bekerja dari rumah kalau bersesuaian,” ujarnya.

Tambah beliau, tanggungjawab individu adalah lebih kepada diri sendiri untuk memantau kesihatan kendiri.

“Ujian kendiri perlu dibuat sekiranya alami gejala atau hadiri majlis yang ada ramai orang. Kita juga kena patuh dengan TRIIS iaitu uji, lapor, asing, maklum dan dapatkan rawatan serta memakai pelitup muka,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here