Home Koronavirus 20,000 dijangka divaksin PPV Pandu Lalu OKU Sentral Johor

20,000 dijangka divaksin PPV Pandu Lalu OKU Sentral Johor

0
20,000 dijangka divaksin PPV Pandu Lalu OKU Sentral Johor

JOHOR BAHRU – Seramai 20,000 individu terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU) dan ahli keluarga mereka serta warga emas di Johor dijangka menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Arena Larkin, di sini.

Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, walaupun PPV khas untuk OKU itu merupakan yang terbesar di negara ini serta boleh menampung banyak kenderaan pada satu-satu masa, namun penerima dinasihati datang mengikut tarikh dan waktu janji temu bagi kelancaran proses vaksinasi.

“Kita sasarkan seramai 20,000 akan menerima vaksin di PPV ini dalam masa dua bulan, tetapi ia termaktub kepada pendaftaran kerana hanya 18 tahun ke atas dibenarkan bersama tiga ahli keluarga mereka dan warga emas.

“Ruang PPV ini besar dan boleh terima kereta dengan banyak, namun mereka perlu datang ikut janji temu. Kami faham mungkin ada yang terlambat datang kerana dari kawasan pedalaman, namun kami akan bertolak ansur dari segi itu,” katanya ketika ditemui Bernama di PPV itu bersama Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman di sini pada Isnin.

Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sasaran penerima vaksin di PPV itu yang akan mula beroperasi pada Rabu ini hingga 25 Oktober depan.

Ahli Dewan Negara mewakili OKU itu berkata, setakat ini pihaknya telah menerima sebanyak 5,000 pendaftaran vaksinasi dan mereka yang ingin mendaftar boleh melayari pautan https://forms.gle/gVXk6jeAeo8Pru1v6.

“Kita juga buka kepada OKU yang tidak berdaftar (tidak mempunyai pendaftaran kad OKU), kita akan bantu kerana tiada diskriminasi kerana kita mahu menyahut seruan negara untuk mencapai imuniti kelompok secepat mungkin, sekali gus membantu mempercepatkan vaksinasi di Johor,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, anggota trafik Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan MBJB juga akan mengawal laluan masuk dan keluar di PPV itu yang mempunyai lima stesen iaitu saringan, penilaian, pemeriksaan, vaksinasi dan pemerhatian.

Beliau berkata, seramai 90 petugas OKU Sentral, perubatan termasuk sukarelawan daripada Southern Volunteers akan bertugas di PPV itu dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Dalam pada itu, Mohd Norazam berkata, PPV itu sangat diperlukan di Johor bagi mempercepatkan vaksinasi dan merupakan langkah terbaik dalam fasa Pelan Pemulihan Negara.

PPV Pandu Lalu OKU Sentral itu merupakan pusat vaksinasi khas untuk OKU yang kedua dikendalikan oleh OKU Sentral selepas PPV Pandu Lalu OKU Sentral di Sime Darby Plantation Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here