SHAH ALAM – Sebanyak 27 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang telah ditutup setakat Selasa berikutan hampir keseluruhan penduduk telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan, proses penutupan itu akan dijalankan secara berperingkat dengan penutupan pertama pada Isnin dan terakhir pada 30 September depan.
“Ops Lonjakan Kapasiti Lembah Klang telah berjaya memvaksinasi hampir keseluruhan penduduk di Lembah Klang dengan sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” katanya menerusi status dan info grafik dimuat naik di Facebook rasminya pada Selasa.
Menerusi info grafik dikongsi JKJAV itu menunjukkan sebanyak 26 PPV di Lembah Klang mula ditutup operasinya pada Isnin dan sebuah PPV lagi ditutup pada Selasa.
Dua lagi PPV iaitu di Kompleks Sukan Majlis Perbadanan Kuala Langat dan Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya menjadi PPV terakhir ditutup pada 30 September depan.