Home belanjawan2021 PM pelawa pembangkang beri cadangan

PM pelawa pembangkang beri cadangan

0
PM pelawa pembangkang beri cadangan

[#item_custom_image_url]

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pentadbirannya mengamalkan pendekatan inklusif dengan mengambil kira semua pandangan termasuk pembangkang.

Beliau berkata, langkah itu dibuat demi kebaikan semua pihak termasuk rakyat.

Menurutnya, kerajaan hari ini mahu dilihat sebagai sebuah kerajaan yang mesra pelanggan dengan meneliti dan memperhalusi setiap pandangan tidak kira ia datang daripada mana-mana pihak.

“Saya nak pelawa pembangkang dalam Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan oleh saya setiap minggu. Begitu juga dengan mesyuarat khas menangani Covid-19 yang saya pengerusikan setiap hari.

“Kita mahu melihat bagaimana pembangkang beri pandangan jika apa yang kita laksanakan tidak berkesan. Kita mahu tahu apa cadangan daripada mereka jika apa yang dilakukan kita tidak berjaya.

“Ia bukan soal mendapat kredit daripada situ tetapi rakyat mendapat faedahnya,” katanya bercakap pada program ‘Agenda Awani Eksklusif Bersama Perdana Menteri: Belanjawan 2021 dan Cabaran Semasa’ yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan malam ini.

Muhyiddin berkata demikian merujuk kepada langkah Kementerian Kewangan yang mengambil pendekatan turun ke lapangan bagi mendapatkan respons serta sesi pertemuan bersama pimpinan pembangkang sebelum Belanjawan 2021 dibentangkan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau mahu melihat pendekatan baharu itu sebagai pendekatan demi kebaikan bersama.

Menurutnya, Belanjawan 2021 bukan belanjawan kerajaan semata-mata, tetapi demi rakyat.

“Kita tidak tahu semua. Maknanya kita perlu mendapatkan pandangan dan sebab itu kita mengolah belanjawan dengan mengadakan siri libat urus ke seluruh negeri dengan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pasukannya turun ke lapangan bagi mendapatkan respons.

“Mengamalkan sikap inklusif itu satu perkara baik. Tidak kira siapa pun sama ada mereka di sebelah sana. Saya fikir pendekatan baharu ini agak sesuai pada masa akan datang,” katanya.

Ditanya mengenai adakah ia turut melibatkan kerjasama dalam soal politik, Muhyiddin berkata, beliau tidak mahu meramalkan perkara tersebut.

Bagaimanapun, katanya, dalam keadaan sekarang keutamaan ialah kepada masalah berhadapan dengan penularan Covid-19 dan pemulihan ekonomi.

“Saya tidak meramalkan tetapi ia mesti secara ‘one step of the time’. Tetapi perkara paling pokok dalam situasi semasa ialah masalah rakyat. Bukan masalah politik saya atau kepartian. Itu memang ada dalam agenda kita tetapi masalah utama ialah Covid-19 dan pemulihan ekonomi. Itu penting untuk kita,” jelasnya.

Beliau berkata, Belanjawan 2021 memperlihatkan usaha kerajaan untuk melonjakkan ekonomi kepada lebih tinggi dalam keadaan angka negatif kepada positif iaitu unjuran 6.5 peratus kerana ada negara tidak sampai kepada tahap tersebut.

“Sebahagian besar perkara yang diumumkan dalam belanjawan ini supaya ada lonjakan. Unjuran ekonomi negara sebanyak 6.5 hingga tujuh peratus mengambil kira pandangan daripada pakar-pakar bukan sahaja dalam negara, tetapi luar negara juga.

“Kita dalam keadaan sebegini tidak sampai kepada tahap agak teruk sekali walaupun ia membebankan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif dalam Belanjawan 2021 termasuk dari segi percukaian, subsidi, bantuan untuk perniagaan, galakan baharu yang disediakan dalam bentuk insentif pelaburan serta bantuan kepada syarikat-syarikat kecil disediakan dalam jumlah yang banyak.

“Itu memberikan kita satu gerakan lebih menuju kepada usaha kita untuk melihat satu kadar pertumbuhan yang agak lebih munasabah,” katanya.

[LIVE] Eksklusif bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here