Home bajet2022 Mindef bakal perincikan peruntukan Bajet 2023

Mindef bakal perincikan peruntukan Bajet 2023

0
Mindef bakal perincikan peruntukan Bajet 2023
Hishammuddin (lima dari kiri) selepas menyempurnakan majlis penutup Karnival ATM di Stadium Mini, Taman Seri Lambak, Kluang pada Ahad.
Hishammuddin

KLUANG – Kementerian Pertahanan (Mindef) bakal memperincikan peruntukan berjumlah RM17.37 bilion yang diumumkan pada Bajet 2023 baru-baru ini dengan memberikan fokus kepada empat teras utama.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, empat teras utama berkenaan melibatkan pembelian aset baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), penyelenggaraan aset ATM sedia ada, pembelaan kepada veteran tentera dan kebajikan kepada anggota tentera.

“Kita ucapkan terima kasih kerana berdasarkan Bajet 2023, peruntukan kepada Mindef berjumlah 17.37 bilion ini meningkat sebanyak 7.8 peratus berbanding tahun lalu RM1.23 bilion.

“Jumlah ini sudah tentu saya perlu perincikan bagaimana ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana saya juga terikat dengan perancangan di Mindef selepas berbincang dengan ATM berkait dengan dasar kita.

“Namun, saya dah buat keputusan, apa juga yang kita nak umumkan selepas ini berkenaan Mindef, mesti berikan keutamaan kepada empat perkara yang saya sentiasa tekankan iaitu perkhidmatan dan perolehan aset-aset kita,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Karnival Tentera Darat 2022 di Taman Seri Lambak di sini pada Sabtu.

Pada pembentangan Bajet 2023 Jumaat lalu, sejumlah RM17.4 bilion diperuntukkan kepada Mindef yang merangkumi pembelian dan penyelenggaraan aset ATM melibatkan RM4 bilion bagi tujuan peningkatan kesiapsiagaan pertahanan.

Tambah Hishammuddin, RM11.41 bilion bakal digunakan untuk perbelanjaan pengurusan iaitu meningkat 2.7 peratus dan RM5.96 bilion perbelanjaan pembangunan iaitu meningkat 18.3 peratus.

**media[1938608]**

“Kementerian Pertahanan dan ATM menyambut baik peruntukan yang diumumkan, namun dalam memelihara kedaulatan tanah air dan membela kebajikan warga pertahanan, kementerian sentiasa memerlukan lebih fokus serta peruntukan bagi melaksanakan pelbagai perancangan.

“Insya-ALLAH, kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM akan berusaha sedaya upaya supaya peruntukan Bajet 2023 dimanfaatkan dengan telus, berhemah serta berintegriti demi kepentingan tanah air tercinta,” katanya.

Sementara itu, Hishamuddin dalam satu kenyataan media berasingan berkata, Mindef memberikan fokus utama bagi melaksanakan perolehan beberapa jenis aset strategik antaranya Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan Medium Altitude Long Endurance- Unmanned Ariel System (MALE-UAS) bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Selain itu, perolehan kenderaan jenis A pacuan empat roda sebanyak 136 unit dan kenderaan jenis B pelbagai unit dengan nilai perolehan sebanyak RM2.049 bilion bagi meningkatkan keupayaan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Katanya, perolehan kesemua aset itu dilaksanakan secara tender terbuka antarabangsa bagi memastikan ia dilaksanakan secara telus dan terbuka.

“Untuk perolehan dua MPA, kerajaan bersetuju dengan tawaran daripada syarikat Leonado manakala bagi perolehan tiga unit MALE-UAS, kerajaan telah memutuskan untuk berkontrak dengan syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI),” katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan sebanyak RM590.56 juta diperuntukkan bagi membina dan menyelenggara Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT).

“Daripada jumlah ini, RM118 juta diperuntukkan khusus untuk selenggaraan RKMAT dan RM472.70 juta lagi untuk tujuan bina baharu RKMAT termasuk di Pangkalan Udara Butterworth.

“Selain itu, kita juga diperuntukkan RM47 juta bagi tujuan melaksanakan perolehan dua unit tambahan Hospital Medan sebagai persediaan mendepani bencana termasuk banjir dan ini tidak termasuk 50 unit ambulans baharu yang akan ditempatkan di beberapa kem ATM,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here