Home bajet2022 'Daripada tuduh melulu, baik datang berbincang' – Hishammuddin

'Daripada tuduh melulu, baik datang berbincang' – Hishammuddin

0
'Daripada tuduh melulu, baik datang berbincang' – Hishammuddin
Hishammuddin bersama seorang anggota tentera ketika mengadakan lawatan pada Karnival ATM 2022 di Stadium Mini, Taman Seri Lambak pada Ahad.

KLUANG – “Daripada tuduh melulu, baik datang berbincang.”

Itu reaksi Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada pihak yang mempersoalkan mengenai Bajet 2023 yang dikatakan tidak memihak kepada golongan pesara tentera.

Menurut Hishamuddin, pihak berkenaan tidak seharusnya melihat kepada ucapan bajet sahaja kerana butirannya masih belum diperincikan sama ada oleh pihak kementerian mahupun pihak veteran ATM.

“Kalau pihak kementerian belum perincikan lagi butirannya, bermakna pihak veteran pun belum perincikan lagi.

“Itu yang saya katakan tadi…sebelum bajet pun kita dah luluskan, kalau diberikan tambahan, kita tengoklah apa yang boleh kita umumkan dengan peruntukan yang sedia ada.

“Oleh itu, daripada tuduh melulu, baik datang berbincang,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutup Karnival Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2022 di Stadium Mini, Taman Seri Lambak dekat sini, pada Ahad.

Pada Ahad, Presiden Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM), Mior Rosli Mior Mohd Jaafar mendakwa Bajet 2023 seakan tidak memihak kepada golongan pesara tentera selain bajet yang dibentangkan langsung tidak menitikberatkan hak yang dituntut mereka.

Sebelum ini pada September lalu, dianggarkan lebih 100 veteran ATM berkumpul di hadapan bangunan Jabatan Perdana Menteri bagi menuntut hak kebajikan mereka seperti penyelarasan pencen, selain mendesak kerajaan mengkaji semula pencen hilang upaya terhadap veteran yang cedera dalam perang dan semasa bertugas.

Hishammuddin berkata, agenda pembelaan terhadap veteran tentera sememangnya ada dalam empat teras utama yang akan diberikan perhatian dalam Bajet 2023 yang dibentangkan baru-baru ini.

“Dari segi pertahanan dan keselamatan kita tak boleh kompromi dan lebih penting dekat di hati saya adalah agenda-agenda kebajikan termasuk pendidikan, kesihatan, perumahan.

“Saya sendiri telah berjumpa dengan menteri-menteri berkenaan, ditambah dengan kepimpinan di peringkat negeri, bukan sahaja untuk bantu ATM dan Mindef tetapi juga agenda kita untuk bantu veteran-veteran ATM,” katanya.

Dalam Bajet 2023 yang dibentangkan Jumaat lalu, kerajaan memperuntukkan diskaun 50 peratus kepada veteran ATM dan pesara polis yang menggunakan pengangkutan awam di bawah kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) pada tahun hadapan.

Peruntukan melalui inisiatif MyWIRA itu dijangka bakal memberikan manfaat kepada 21,000 pemegang kad veteran ATM dan kad pesara polis di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here