Home bajet2022 Kadar cukai pendapatan M40 dikurangkan 2 peratus

Kadar cukai pendapatan M40 dikurangkan 2 peratus

0
Kadar cukai pendapatan M40 dikurangkan 2 peratus

Gambar hiasan – Foto 123RF

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menambah pendapatan boleh guna M40 melalui pengurangan kadar cukai pendapatan individu yang memberi lebih manfaat kepada golongan itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bermula tahun ini, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak dua peratus melibatkan setiap banjaran pendapatan lebih RM35,000 hingga RM100,000.

Beliau berkata, pengurangan itu dijangka dapat memberi manfaat kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna hingga RM1,300.

“Sepertimana telah saya jelaskan, kerajaan akan mengambil pendekatan yang progresif. Ketika M40 mendapat manfaat daripada pengurangan kadar cukai, kerajaan akan menaikkan kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi antara 0.5 sehingga dua peratus melibatkan setiap banjaran pendapatan lebih RM100,000 hingga RM1 juta.

“Namun, kurang daripada 150,000 pembayar cukai akan dikenakan cukai yang lebih tinggi,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, melalui pendekatan itu, langkah berkenaan melibatkan pengurangan hasil cukai bersih kerajaan sebanyak RM900 juta untuk manfaat rakyat khususnya golongan M40. – Bernama