Home bajet2022 Belanjawan 2023: Pembangkang beri 'rating' 5/10

Belanjawan 2023: Pembangkang beri 'rating' 5/10

0
Belanjawan 2023: Pembangkang beri 'rating' 5/10

Ahmad Fadhli

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) memberikan ‘penilaian’ atau rating lima daripada 10 bintang terhadap Belanjawan 2023 yang dibentangkan Kerajaan Perpaduan di Dewan Rakyat di sini pada Jumaat.

Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia berikutan belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bersifat ‘menjaga hati’.

Mengambil contoh kesungguhan Ahli Parlimen Tambun itu untuk memerangi rasuah, namun isu besar seperti 1Malaysia Development (1MDB) tidak disentuh dalam pembentangan berkenaan.

“Perdana Menteri tidak menyebut satu patah pun tentang 1MDB yang merupakan kepala kepada ketirisan yang berlaku (dalam negara).

“Saya fikir Perdana Menteri masih lagi cuba berdolak-dalik dalam isu penyelewengan dan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai Belanjawan 2023 yang dibentangkan di sini pada Jumaat.

Sementara itu, ditanya sama ada pembangkang akan menyokong atau sebaliknya belanjawan berkenaan, Ahmad Fadhli yang Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, keputusan mengenainya akan diputuskan minggu depan.

“Kami ahli Parlimen pembangkang akan bincang sesama kita dan akan nyatakan pendirian minggu depan,” katanya.

Belanjawan 2023 menyaksikan nilai keseluruhan sebanyak RM388.1 bilion, sekali gus terbesar dalam sejarah negara.

Jumlah tersebut lebih tinggi berbanding belanjawan yang diumumkan ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub pada Oktober tahun lalu iaitu sebanyak RM372.3 bilion.

Sementara belanjawan bagi tahun 2022 ialah sebanyak RM332 bilion dan bagi tahun 2021 berjumlah RM322 bilion.