Home bajet2022 Enam projek tebatan banjir ditender semula pada Jun

Enam projek tebatan banjir ditender semula pada Jun

0
Enam projek tebatan banjir ditender semula pada Jun

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Bangunan Parlimen. – Foto Bernama.

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Enam projek tebatan banjir akan ditender semula dengan segera selewat-lewatnya pada Jun tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antaranya melibatkan projek Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi, Johor dan pembinaan kolam takungan dwifungsi bagi tebatan banjir dan sumber bekalan air mentah di Sungai Rasau serta Sungai Klang, Selangor.

Selain itu, ujar beliau, projek lain adalah Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3, Kelantan.

“Saya telah tegaskan perolehan rundingan terus yang dibuat dengan tergesa-gesa tanpa penelitian hanya membazirkan wang rakyat terutamanya berkait soal tebatan banjir.

“Sedangkan projek ini mustahak dan menelan belanja yang besar. Ketelanjuran lalu yang secara gopoh meluluskan projek tebatan banjir telah dibatalkan dan kini sedang dalam siasatan dan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, projek cakna rakyat dan berimpak tinggi mesti dilaksanakan secara tender supaya menjamin nilai faedah terbaik dan memberi penjimatan kepada kerajaan.

Menurutnya, langkah itu juga bertujuan bagi memastikan projek tebatan banjir benar-benar mencapai matlamatnya.

“Sebagai contoh, negara dijangka mampu jimat RM2 bilion daripada jumlah RM15 bilion peruntukan tebatan banjir yang disediakan sebelum ini.

“Lantaran dari itu, pelaksanaan perolehan mesti dibuat secara tender,” ulasnya.