Home bajet2022 Perkeso sedia insentif majikan gajikan graduan TVET

Perkeso sedia insentif majikan gajikan graduan TVET

0
Perkeso sedia insentif majikan gajikan graduan TVET

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kerajaan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyediakan insentif kepada majikan yang menggajikan 17,000 graduan khususnya program Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan sebagai tambahan kepada gaji yang ditawarkan dengan peruntukan RM45 juta.

Anwar berkata, kerajaan juga menyediakan insentif kepada majikan yang menggajikan golongan mudah terjejas seperti orang kurang upaya (OKU), bekas banduan, gelandangan dan penganggur tegar sehingga RM600 sebulan untuk tempoh sehingga tiga bulan.

Jelasnya, kerajaan turut menggalakkan anak muda meningkatkan keupayaan dan kemahiran bagi meraih gaji yang lebih bermakna.

“Kerajaan akan menanggung bayaran latihan untuk pekerja gig menjalani program peningkatan kemahiran micro credentials sehingga RM4,000.

“Perkeso juga menyediakan elaun RM300 untuk tiga bulan sebagai menggantikan pendapatan pekerja gig yang aktif dan sedang menjalani program latihan.

“Secara keseluruhan, RM40 juta disediakan untuk manfaat 30,000 pekerja gig,” ujarnya.

Anwar menambah, syarikat berkaitan kerajaan menawarkan 35,000 peluang kerjaya kepada belia, graduan TVET selain kumpulan rentan dan veteran.

Perkara tersebut berikutan kerugian hasil RM20 bilion akibat dasar yang mengekang pengambilan pekerja terutama pekerja asing.

“Dengan dasar pemutihan baru-baru ini, masalah ini hampir selesai tanpa melibatkan ejen yang mengambil laba yang tinggi,” kata beliau.

Cadang lanjut galakan cukai syarikat pindah operasi ke Malaysia

Kerajaan bercadang melanjutkan galakan cukai kepada syarikat pengilangan yang memindahkan operasi ke Malaysia dan kadar cukai 15 peratus kepada C-Suite sehingga tahun 2024.

Anwar berkata, langkah itu bertujuan menarik pelaburan daripada syarikat yang terjejas akibat Covid-19 untuk beroperasi di negara ini.

“Malaysia mempunya potensi besar dalam sektor Elektrikal & Elektronik (E&E) dan aeroangkasa. Jadi kerajaan bercadang untuk melanjutkan galakan cukai kepada syarikat pengilangan yang memindahkan operasi ke negara ini dan kadar cukai 15 peratus kepada C-Suite sehingga tahun 2024.

“Selain itu melanjutkan insentif cukai pendapatan serta elaun cukai pelaburan sehingga 31 Disember 2025 dalam bidang aeroangkasa bagi menggalakkan pengembangan kapasiti syarikat sedia ada dan menarik pelaburan daripada syarikat baharu,” katanya.

Wujudkan wakaf Madani, aset nilai lebih RM1 bilion

Kerajaan menerima komitmen swasta untuk mewujudkan Wakaf Madani dengan aset-aset bernilai lebih RM1 bilion.

Anwar berkata, aset-aset yang terdiri daripada tanah, masjid, bangunan, kemudahan kesihatan dan pendidikan akan dioptimumkan bagi manfaat golongan fakir miskin, berpendapatan rendah dan golongan rentan lain.

“Sesuai dengan kerangka Madani, kaedah berwakaf merupakan salah satu mekanisme pengagihan semula kekayaan yang menyumbang kepada kesejahteraan sejagat.

“Antaranya,kejayaan pembinaan Menara Bank Islam di segi tiga emas Kuala Lumpur atas wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy yang bernilai ratusan juta ringgit menunjukkan keupayaan sebenar sektor wakaf terhadap agenda pembangunan.

“Begitu juga Wakaf Seetee Aisyah dan Wakaf Simpang Enam di Pulau Pinang yang boleh dijadikan rujukan sebagai pusat sosioekonomi rakyat setempat,” katanya.

Tambah beliau, selain itu wakaf Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) juga membuktikan adanya anjakan minda peneroka apabila mereka bukan lagi semata-mata golongan menerima bantuan.

“Malah mereka mula berkongsi rezeki dengan nilai wakaf terkumpul melebihi RM27 juta walaupun tabung wakaf baru ditubuhkan pada 2021.

“Setakat ini, tanah wakaf berdaftar yang berjaya dibangunkan hanya sekitar 3,500 hektar atau 12 peratus. Usaha segera perlu digembleng dalam membangunkan tanah dan aset wakaf,” katanya.

Kadar cukai PMKS dikurangkan

Kerajaan bersetuju kadar cukai pemulihan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ke atas pendapatan bercukai bagi RM150,000 pertama dikurangkan daripada 17 peratus kepada 15 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurangan ini dapat memberi penjimatan di antara RM3,000 hingga RM150,000 bagi pembayar cukai PMKS.

“Pentadbiran ini memahami masih banyak peniaga yang terkesan dengan pandemik lalu terutamanya PMKS.

“Belanjawan Madani akan memastikan PMKS tempatan untuk kembali berdaya saing dan meningkatkan keupayaan perniagaan mereka,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Tambah beliau lagi, pelbagai kemudahan termasuk potongan cukai dan dana pembiayaan disediakan bagi membantu para peniaga.

Kerajaan laksana empat projek rancakkan sektor pelancongan

Kerajaan bercadang melaksanakan empat projek berkaitan pelancongan yang mengalami masalah kesesakan jalan raya.

Anwar berkata, inisiatif tersebut dibuat berikutan permasalahan tersebut telah menjejaskan beberapa lokasi tumpuan pelancong.

“Projek pertama adalah kerajaan mahu membina jalan baharu dari Habu ke Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang dengan kos sebanyak RM480 juta.

“Seterusnya, menaik taraf Jalan Tun Hamzah ke persimpangan Semabok Lebuh AMJ Daerah Melaka Tengah dengan kos sebanyak RM300 juta,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Berikutan projek ketiga, sebanyak RM160 juta diperuntukkan untuk membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang.

“Akhir sekali, bagi kerajaan juga bercadang untuk menambah baik kemudahan jaringan lebuhraya ke Pengerang melalui pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway.

“Oleh yang demikian, kerajaan bersetuju melaksanakan projek naik taraf Lebuhraya Utara Selatan di dari Yong Peng Utara ke Senai Utara – Fasa 1, Johor daripada empat kepada enam lorong dengan kos RM525 juta secara berfasa,” jelasnya.