PUTRAJAYA – Kementerian Luar menyambut baik Belanjawan 2023 Malaysia MADANI yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat yang secara langsung akan menyokong usaha Malaysia dalam mempromosi, mempertahan dan melindungi kepentingan negara di persada dunia.
Menurut kenyataan kementerian (Wisma Putra) pada Sabtu, usaha ini adalah bersandarkan kepada Kerangka Dasar Luar Malaysia Pascapandemik serta Pelan Strategik Kementerian 2021-2025.
“Belanjawan 2023 yang dibentangkan di Parlimen semalam (Jumaat) dilihat dapat mengukuhkan lagi penyampaian perkhidmatan kementerian yang lebih responsif, peduli rakyat dan berintegriti,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra telah diperuntukkan sebanyak RM971.1 juta bagi tahun 2023 berbanding RM868.5 juta pada tahun 2022.
Daripada jumlah itu, sejumlah RM809.6 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala sejumlah RM161.5 juta untuk perbelanjaan pembangunan.
“Kedua-dua peruntukan ini mencatatkan kenaikan masing-masing sebanyak 6.49 peratus dan 49.28 peratus berbanding peruntukan yang diluluskan pada tahun 2022,” menurut kenyataan itu.
Pertambahan dalam peruntukan perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan kementerian akan dimanfaatkan ke arah usaha memperkukuh dan mempertahankan kepentingan strategik negara dalam isu global, antaranya keamanan sejagat, keterjaminan makanan, pembangunan mampan dan perubahan iklim, di samping mempromosi konsep Malaysia Madani di persada antarabangsa.
Kementerian juga akan turut memberi penekanan kepada usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi negara termasuk memudah cara pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung Malaysia di luar negara (DIA).
“Belanjawan 2023 juga akan dimanfaatkan bagi menaik taraf infrastruktur di dalam dan luar negara, menambah baik kebajikan pegawai serta pemerkasaan program pembangunan modal insan,” menurut Wisma Putra. – Bernama