Home bajet2022 Belanjawan 2023 tak selesai isu kos sara hidup penjawat awam – Cuepacs

Belanjawan 2023 tak selesai isu kos sara hidup penjawat awam – Cuepacs

0
Belanjawan 2023 tak selesai isu kos sara hidup penjawat awam – Cuepacs

Adnan Mat -Foto: ROSLI TALIB

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menzahirkan kekecewaan berhubung Belanjawan 2023 yang didakwa tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup dihadapi oleh penjawat awam ketika ini.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, tiada sebarang komitmen diberikan kerajaan bagi menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan penjawat awam.

“Faktor gaji dan upah menjadi perkara yang mendesak ketika ini kerana kadar semasa dilihat tidak lagi relevan dengan peningkatan kos sara hidup yang naik dengan begitu mendadak terutama melibatkan keperluan asas seperti makanan, kesihatan dan perumahan.

“Penjawat awam ketika ini mengharapkan sebuah sistem saraan yang baharu memandangkan sistem saraan perkhidmatan awam yang digunakan ketika ini sudah lama tidak dikaji iaitu sejak November 2002 dan tidak sesuai lagi dengan persekitaran ekonomi semasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Adnan, inisiatif kerajaan memberikan pengurangan cukai pendapatan individu sebenarnya tidak memberi kesan yang besar kepada pendapatan boleh guna terutama penjawat awam.

Menyentuh isu pemilikan dalam kalangan penjawat awam, beliau berkata, kerajaan sewajarnya memperkenalkan semula program perumahan mampu milik untuk penjawat awam seperti sebelum ini.

“Konsep rumah mampu milik seperti Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) yang dikhususkan kepada anggota ATM perlu diperluaskan kepada semua penjawat awam.

“Penjawat awam tidak meminta perumahan percuma kerana kami sanggup membelinya tetapi harga yang ditawarkan oleh pemaju ketika ini sangat tidak masuk akal dengan kadar gaji semasa penjawat awam,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun menghargai inisiatif kerajaan meneruskan kebenaran penebusan awal Gantian Cuti Rehat sehingga 50 peratus iaitu maksimum 90 hari serta pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.

Adnan berharap supaya kerajaan terbuka untuk memperhalusi semula permintaan warga penjawat awam terutama dalam hal-hal yang melibatkan permasalahan kos sara hidup.

“Sebelum ini sudah beberapa kali kerajaan mahu mengkaji sistem saraan perkhidmatan awam namun sehingga kini tiada apa-apa perkembangan atau khabar gembira yang diterima.

“Adalah besar harapan penjawat awam sekiranya kerajaan dapat mempertimbangkan pandangan dan keluhan kumpulan yang selama ini memberi sokongan yang penuh kepada agenda serta aspirasi kerajaan,” ujar beliau.