Home bajet2022 Gesa kerajaan runding rangka kerja peraturan, cukai, GEG

Gesa kerajaan runding rangka kerja peraturan, cukai, GEG

0
Gesa kerajaan runding rangka kerja peraturan, cukai, GEG

Gambar hiasan

SHAH ALAM – Kerajaan disaran untuk mengadakan rundingan dengan pemain industri berkaitan bagi merangka sistem percukaian, peraturan serta dasar Penamat Generasi atau Generational Endgame (GEG) sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia (MVCC) Ridhwan Rosli berkata, peraturan dan kadar cukai perlu diseimbangkan memandangkan ia akan memberi kesan kepada pemain industri tempatan.

“MVCC juga tidak bersetuju dengan cadangan GEG kerana ia akan mengharamkan produk vape dalam jangka masa panjang selain akan memberi kesan kepada perniagaan tempatan di Malaysia yang kini bernilai RM2.49 bilion,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Malaysian Vapers Alliance (MVA) turut menyuarakan kekecewaan kepada kerajaan ekoran sokongan terhadap cadangan GEG pada penggunaan vape kerana akan mewujudkan persepsi tidak tepat bahawa vape dan rokok adalah sama.

Presidennya, Khairil Azizi Khairuddin berkata, dasar GEG vape dilihat akan menghalang perokok daripada beralih kepada alternatif yang kurang berbahaya.

“Pelbagai bukti saintifik bebas di seluruh dunia telah membuktikan bahawa walaupun vape mempunyai risiko kesihatan, risiko tersebut jauh lebih rendah berbanding dengan menghisap rokok.

“Selain itu, vape juga telah berjaya membantu ramai perokok untuk berhenti menghisap rokok dan negara seperti United Kingdom serta New Zealand juga telah menyokong vape sebagai produk yang kurang berbahaya.

“Semua sains dan bukti ini tidak boleh diabaikan dan MVA menggesa kerajaan membuat penilaian menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan lanjut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA) melihat pengumuman mengenai cukai untuk produk vape nikotin sebagai langkah positif kerana ia memberi laluan kepada peraturan untuk mengawal selia industri vape.

Presiden MRECA, Datuk Adzwan Ab Manas menjelaskan, sebarang cukai yang dikenakan kepada produk berkenaan memberi gambaran ia produk yang kurang berbahaya berbanding tembakau.

“Kadar cukai pula tidak boleh terlalu tinggi dan mengambil kira dinamik pasaran kerana ia akan menyebabkan harga produk meningkat dan mendorong pengguna untuk mencari produk murah yang tidak dikawal.

“Pada masa yang sama, peraturan mesti diperkenalkan dengan cepat untuk melengkapkan rangka kerja percukaian, malah boleh dilakukan melalui pindaan undang-undang sedia ada untuk memasukkan produk vape,” katanya.