Home bajet2022 Belanjawan 2023: Penoreh lahir rasa syukur harga lantai getah naik

Belanjawan 2023: Penoreh lahir rasa syukur harga lantai getah naik

0
Belanjawan 2023: Penoreh lahir rasa syukur harga lantai getah naik

Gambar hiasan – Foto 123RF

KUALA KRAI – Lebih 100 penoreh getah di sini menarik nafas lega dan bersyukur dengan usaha kerajaan menaikkan Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan RM350 juta.

Noor Atikah Ab Azizi, 28, berkata, jumlah kenaikan 20 sen itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Sejak kebelakangan ini pendapatan saya sebagai penoreh getah adalah RM400 sebulan berikutan harga semasa getah yang dijual sekitar RM2 hingga RM2.50 sekilogram.

“Tambah terkesan dengan peningkatan kos sara hidup apabila musim tengkujuh kerana tidak boleh menoreh dan hanya mengharapkan bantuan musim tengkujuh sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Batu Mengkebang, di sini hari ini.

Mohd Fadlisyam Mohd Sekeri, 32, pula berkata, walaupun jumlah kenaikan harga getah sekilogram itu tidaklah terlalu tinggi, ia tetap memberi kesan positif kepada penoreh getah untuk menampung keperluan harian.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewanga,n Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini turut menggesa Lembaga Getah Malaysia (LGM) memudah cara kaedah tuntutan terutamanya melibatkan pekebun kecil yang terpaksa keluar berpuluh kilometer hanya untuk mendapatkan insentif tersebut kerana ia menyusahkan rakyat.

Kerajaan juga bersetuju menaikkan sumbangan musim tengkujuh pekebun kecil daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan bagi meringankan beban ditanggung 320,000 golongan berkenaan, membabitkan peruntukan RM256 juta. – Bernama