Home bajet2022 Bajet 2023: RM15 bilion rancangan tebatan banjir

Bajet 2023: RM15 bilion rancangan tebatan banjir

0
Bajet 2023: RM15 bilion rancangan tebatan banjir
Kerajaan serius untuk melaksanakan rancangan tebatan banjir sehingga 2030 yang bernilai RM15 bilion. – Foto Bernama.

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kerajaan komited untuk melaksanakan rancangan tebatan banjir sehingga 2030 yang bernilai RM15 bilion sebagai strategi jangka masa panjang bagi beradaptasi dengan perubahan iklim seluruh negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi tahun 2023 sebahagian besar projek akan dijalankan dengan anggaran RM700 juta.

“Antara projek utama digerakkan termasuklah pertama pelaksanaan Projek Empangan Sabo bernilai RM562 juta di 46 lokasi seluruh negara bagi mengurangkan risiko banjir puing dan banjir lumpur seperti tragedi banjir di Baling, Kedah.

“Kedua, pembinaan Kolam Takungan Dwifungsi bernilai hampir RM2 bilion melibatkan jajaran di sepanjang Sungai Klang dan Sungai Rasau, Selangor sebagai strategi serampang dua mata mengatasi masalah banjir dan sumber pembekalan air mentah.

“Ketiga, Projek Fasa Tambahan Lembangan Sungai Bersepadu di Sungai Golok, Kelantan bernilai RM500 juta,” ujar beliau dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.

Kerajaan juga bakal menaik taraf sistem ramalan cuaca bagi memperkasa ramalan dan amaran banjir di peringkat nasional.

“Bagi tahun hadapan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan diperuntukkan sejumlah RM174 juta. Sebagai langkah persediaan proaktif, Kementerian Kewangan akan terus menyalurkan tambahan RM400 juta ringgit kepada Nadma supaya bersiap siaga membantu segera jika berlaku banjir pada hujung tahun ini.

“Bagi tahun 2023, kerajaan telah menyediakan peruntukan awal berjumlah RM100 juta di bawah Tabung Bantuan Bencana Negara dan Kementerian Kewangan bersedia untuk menambahkan peruntukannya mengikut keperluan.

“Sebagai langkah persediaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghadapi sebarang bencana, dua buah hospital medan tambahan melibatkan kos RM47 juta akan siap pada hujung tahun ini di Kluang, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah. Sebagai tambahan, sebanyak 50 unit ambulans juga akan ditempatkan di kem tentera, sedia untuk dikerahkan untuk membantu jika berlaku bencana,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan juga menyediakan RM20 juta di bawah Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti bagi manfaat 2,000 persatuan penduduk melaksanakan aktiviti kesukarelawan termasuk menyertai kursus kebombaan bagi mempersiapkan diri sekiranya berdepan sebarang bencana seperti banjir dan kebakaran di peringkat komuniti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here