Home bajet2022 Bajet 2023: Harap kerajaan naikkan pelepasan cukai insurans hayat

Bajet 2023: Harap kerajaan naikkan pelepasan cukai insurans hayat

0
Bajet 2023: Harap kerajaan naikkan pelepasan cukai insurans hayat

KUALA LUMPUR – Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) berharap kerajaan menaikkan pelepasan cukai individu bagi premium insurans hayat daripada RM3,000 kepada RM5,000 pada pembentangan Bajet 2023 yang akan datang.

Menurut persatuan itu, pandemik Covid-19 telah menyedarkan semua individu bahawa kehidupan adalah tidak menentu dan menegaskan kepentingan untuk melindungi diri sendiri dan orang tersayang dari segi kewangan dalam situasi yang tidak dapat diramal atau kehilangan pencari nafkah dalam keluarga.

“Mempunyai polisi insurans hayat adalah aspek penting sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan kerana ia melindungi anda dan orang tersayang daripada kos membabitkan kemalangan, ketidakupayaan, penyakit dan kematian,” kata LIAM kepada Bernama.

Insurans hayat merupakan keperluan berikutan ia membantu sesebuah keluarga untuk mengekalkan gaya hidup sekiranya pencari nafkah meninggal dunia atau mereka hilang upaya kekal yang menyeluruh, sekali gus menyebabkan mereka tidak boleh bekerja dan mencari nafkah untuk keluarga.

LIAM turut menyarankan kerajaan menyertakan premium insurans perubatan dalam pelepasan cukai sebanyak RM8,000 untuk perbelanjaan perubatan kepada diri sendiri, pasangan dan anak-anak atau meningkatkan pelepasan cukai untuk pendidikan, perubatan dan insurans kesihatan (MHI) serta pelan MHI daripada RM3,000 kepada RM6,000.

Polisi insurans pendidikan adalah penting berikutan ia berperanan sebagai medium simpanan untuk menampung kos pendidikan tinggi, sekali gus membantu keluarga untuk mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan.

Menurut laporan, sehingga November 2021, pinjaman pelajar terkumpul berjumlah kira-kira RM40 bilion, yang melibatkan sejuta pelajar.

Berikutan yuran pengajian tinggi yang semakin meningkat, ibu bapa pada masa ini digalakkan mengambil polisi pendidikan sebagai perancangan kewangan untuk membiayai pendidikan anak-anak pada masa depan.

Ketika ini pelepasan cukai sebanyak RM3,000 diberikan kepada pembayar cukai bagi premium insurans yang dibayar untuk polisi perubatan dan polisi pendidikan.

“Kami ingin menegaskan bahawa jumlah ini sememangnya tidak mencukupi dalam kebanyakan situasi kerana kos insurans perubatan bagi purata keluarga yang terdiri daripada dua dewasa dan tiga kanak-kanak adalah sekitar RM2,500 setahun.

“Sehubungan itu, hanya RM500 simpanan premium pada setiap tahun untuk keluarga ini menampung polisi pendidikan ketiga-tiga anak dan ia tidak mencukupi.

“Berikutan kepentingan mempunyai insurans kesihatan dalam kalangan rakyat Malaysia, pelepasan cukai bagi pelan insurans sedemikian perlu ditingkatkan,” menurut LIAM.

Persatuan itu turut berharap, Program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) untuk kumpulan berpendapatan B40 dilanjutkan.

Kerajaan memperkenalkan Program PTV dalam Bajet 2021 untuk menyediakan perlindungan sosial yang lebih baik kepada kumpulan B40.

Melalui program ini, penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) diberikan baucar RM50 sebagai bantuan kewangan untuk membeli produk Perlindungan Tenang.

Program PTV RM50 berakhir pada Disember 2021 dan digantikan dengan program PTV RM75 yang ditawarkan kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Kedua-dua program tersebut menerima sambutan yang amat memberangsangkan.

Sehingga akhir Disember 2021, lebih 1.7 juta baucar bernilai lebih RM85 juta telah ditebus oleh penerima BPR di bawah PTV RM50.

Sementara itu, sehingga 6 September, lebih 3.7 juta baucar bernilai lebih RM272 juta telah ditebus oleh penerima BKM di bawah PTV RM75.

“PTV RM75 akan berakhir pada Disember 2022 dan kami berharap agar kerajaan melanjutkannya sehingga 2024,” menurut LIAM.

Persatuan itu turut memohon pengecualian cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus terhadap Skim Insurans Pekerja Kumpulan.

Di bawah regim cukai sedia ada, premium bagi skim insurans kumpulan adalah tertakluk kepada cukai perkhidmatan, menyebabkan premium lebih mahal dan mungkin tidak mampu dimiliki oleh sebilangan majikan, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Pengecualian cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus bagi skim insurans kumpulan akan mendorong lebih banyak majikan untuk mengambil insurans kumpulan kepada pekerja, memandangkan kemampuan premium merupakan faktor utama bagi pembelian ini.

“Ia juga akan membantu mengurangkan kos operasi perniagaan di samping menggalakkan PKS untuk mengekalkan perlindungan insurans dan mengurangkan beban terhadap sistem penjagaan kesihatan awam,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here