Home Uncategorized Tidak patuh SOP, 264 premis di Terengganu dikompaun

Tidak patuh SOP, 264 premis di Terengganu dikompaun

0
Tidak patuh SOP, 264 premis di Terengganu dikompaun

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah mengeluarkan sebanyak 264 kompaun bernilai RM264,000 terhadap pemilik premis makanan kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sejak 1 April lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, daerah Besut merekodkan jumlah tertinggi iaitu 62 kompaun diikuti Kemaman (55), Hulu Terengganu (33), Setiu (29), Kuala Terengganu (28), Dungun (26), Marang (16) dan Kuala Nerus (15).

“Selain itu, sebanyak 195 premis telah diarahkan tutup kerana tidak mematuhi SOP seperti tidak merekodkan butiran pelanggan dan tiada penjarakan dua meter antara meja pelanggan.

“Arahan tutup adalah antara tiga hingga tujuh hari bergantung kepada kesalahan dan tahap ketidakpatuhan pemilik premis terhadap SOP yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Seramai 48 pegawai penguat kuasa terlibat dalam operasi pematuhan SOP itu di semua premis seperti pasar raya, restoran, kedai makan, pasar awam dan pasar tani di seluruh Terengganu.

Dalam pada itu, Dr Nor Azimi berkata, penguat kuasa jabatan juga telah menjalankan pemeriksaan pematuhan SOP koronavirus (Covid-19) di 20,005 premis di seluruh Terengganu sejak Mei lepas.

Antara kesalahan yang sering dilakukan ialah tidak mengambil rekod suhu pekerja, tidak memastikan pengambilan suhu pelanggan yang tepat dan tiada penjarakan meja pelanggan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak pergi ke premis makanan yang tidak mematuhi SOP dan berharap mereka membuat laporan kepada pejabat kesihatan berhampiran sekiranya ternampak premis makanan yang penuh sesak tanpa penjarakkan fizikal. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here