Home Uncategorized Tangani perasaan takut dijangkiti Covid-19

Tangani perasaan takut dijangkiti Covid-19

0
Tangani perasaan takut dijangkiti Covid-19

ISLAM amat menekankan aspek kesihatan kerohanian manusia terutama kepada umat Islam sendiri bagi melahirkan masyarakat dalam menjana pembangunan insan sejagat. Nilai-nilai spiritual yang baik akan melahirkan manusia yang sihat dari sudut jasmani dan rohaninya dalam menghadapi penyakit Covid-19.

Ajaran mengenai nilai-nilai spiritual atau juga dikenali sebagai kerohanian Islam telah bermula pada zaman Rasulullah SAW lagi (al-Ghazālī 1955) dan diteruskan oleh generasi awal Muslim pada abad pertama dan kedua Hijrah.

Amalan kerohanian Islam yang asalnya dikenali sebagai zuhd telah mula dikenali sebagai tasawuf. Kehidupan yang dilalui lebih cenderung kepada kesanggupan menjadi fakir, kesabaran yang tinggi, riyāḍah al-nafs dan berdukacita terhadap segala maksiat.

Kemudian, kehidupan kerohanian ini menjadi ikutan para Muslimin seterusnya dan berkembang menjadi sumber inspirasi kepada mereka yang menjadikannya sebagai ajaran tasawuf (Aboebakar Atjeh 1980; Wan Suhaimi & Che Zarrina 2004).

Dalam disiplin ilmu tasawuf telah menekankan aspek spiritual, intelektual dan juga fizikal. Ketiga-tiga aspek ini saling berkaitan antara satu sama lain dalam pembentukan rohani atau spiritual seseorang (Sharifah Basirah & Che Zarrina 2013). Ia mampu membina dan membangunkan psikologi dan keperibadian tinggi melalui pembersihan jiwa (tazkiyah al-nafs) yang mempunyai hubungan yang rapat dalam memperoleh macrifah Allah SWT. dan pemurnian terhadap tingkah laku (Zakaria 1997).

Ia merupakan metodologi atau sebagai terapi yang disarankan kepada umat Islam dalam menangani tingkah laku bermasalah dan penyakit rohani (Sharifah Basirah & Che Zarrina 2013). Menurut Mohd Sulaiman (1992), tazkiyah al-nafs merupakan suatu usaha yang bersungguh-sungguh untuk membersihkan dan menyucikan hati daripada sifat-sifat yang tercela dan merupakan satu proses peralihan daripada hati yang kotor, ternoda dan tercemar dengan dosa kepada hati yang suci bersih.

Contohnya, hati yang tidak mengikut peraturan syariat disucikan menjadi hati yang mengikut tuntutan syariat; daripada hati yang kafir kepada hati yang Mukmin; daripada munafik kepada bersikap jujur dan amanah; sifat dendam digantikan dengan pemaaf, tawaduk, terkawal, tawakal dan sebagainya.

Ia bukanlah bermaksud membunuh terus nafsu tetapi suatu usaha yang gigih untuk membersihkan diri daripada sifat-sifat madhmūmah dan sebagai cara mendidik dan mengawal nafsu untuk berfungsi selaras dengan tuntutan akidah dan syariat. Apabila pembersihan diri sudah selesai, seseorang individu tersebut perlu kepada pengisian dan perhiasan diri supaya proses tersebut menjadi lebih sempurna.

Firman ALLAH SWT (al-Quran 91: 9-10): Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

Elemen mengenai spiritual dan kerohanian ini dapat difahami melalui pandangan al-Ghazālī yang mengatakan bahawa empat elemen spiritual iaitu persoalan al-nafs, al-qalb, al-rūḥ dan al-caql tidak boleh diabaikan kerana ia merupakan antara topik utama yang perlu diteliti meskipun perbincangan mengenai perkara tersebut agak rumit dan kompleks.

Penekanan al-Ghazālī membincangkan empat elemen spiritual manusia itu dapat dibuktikan melalui pengulangan lafaz-lafaz tersebut dalam karangannya seperti Riyāḍah al-Nafs (dalam kitab Iḥyā’) (2000), Riyāḍah wa al-Shahwah al-Nafsiyyah (dalam kitab Mukāshafah al-Qulūb) (1995), Murāqabah (dalam kitab Iḥyā’) (2000), al-Tawbah (dalam kitab Iḥyā’) (2000), al-Risālah al-Ladūniyyah (1994) dan seumpamanya yang semuanya itu berkait langsung dengan persoalan batin dan spiritual (Salasiah 2008).

Begitu juga dengan tokoh-tokoh tasawuf lain turut membincangkan mengenai kerohanian ini dalam kitab karangan mereka seperti kitab Risālah al-Mustarshidīn (1988), al-Waṣāyā (2003) dan al-Ricāyah lī Ḥuqūq Allāh (1990) oleh al-Muḥāsibī, kitab Ṭib al-Qulūb (2001), Ighāthah al-Lahfān min Maṣayid al-Shayṭān (1961) dan Risālah fī Amrāḍ al-Qulūb (2005) oleh Ibn Qayyim. Ini membuktikan bahawa aspek kerohanian adalah sangat penting dalam kehidupan umat Islam bagi memastikan setiap tingkah laku yang dizahirkan melalui anggota-anggota badan menepati syarak.

Aspek kerohanian dalam Islam merupakan satu amalan yang sangat signifikan dalam kehidupan seorang Muslim yang menekankan aspek kesihatan spiritual dalam menghadapi pandemik ini. Selain itu, keseimbangan dari sudut jasmani dan rohani yang dibentuk daripada nilai-nilai spiritual yang baik dapat melahirkan hati yang suci, bersih dan sentiasa ingin melakukan kebaikan dalam kehidupan seharian.

Menurut al-Ghazālī, rūḥ sebagai anggota badan yang halus yang mana sumbernya adalah hati. Rūḥ juga diertikan sebagai zat yang lembut dalam diri manusia yang mengetahui dan memahami. Rūḥ juga adalah nama jiwa yang padanya berlaku kehidupan, pergerakan, mengambil manfaat dan mencegah bahaya (Ali 1995).

Selain itu, al-Ghazālī (t.th.) juga berpendapat bahawa rohani selalu dikaitkan dengan perasaan dalaman manusia yang melibatkan emosi kendiri dan penakulan strategik. Dalam hal ini, kesucian rohani sangat ditekankan dalam agama.

Sementara itu, Jasmi (2002) mengatakan bahawa kesucian rohani membawa maksud keadaan mental yang logik dan mementingkan kebaikan manusia sejagat dan diikuti kebaikan individu itu sendiri. Rohani setiap individu merupakan penentu moral dan sosial masyarakat serta penetapan undang-undang. Justeru, aspek kerohanian merupakan satu perisai kekuatan seseorang Muslim itu daripada penyakit Covid-19 ini.

Firman ALLAH SWT (al-Quran 10: 57): Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan dan membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.

**Dr Zaizul Ab Rahman ialah Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here