Home Uncategorized Saringan kedua petugas Penjara Reman Pulau Pinang negatif

Saringan kedua petugas Penjara Reman Pulau Pinang negatif

0
Saringan kedua petugas Penjara Reman Pulau Pinang negatif

GEORGETOWN – Ujian saringan kedua ke atas semua petugas Penjara Reman Pulau Pinang yang mempunyai kontak rapat dengan banduan yang disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19) menunjukkan keputusan negatif.

Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamed Jusoh Ismail berkata, keputusan itu diperolehi semalam bagi memastikan semua petugas yang mempunyai kontak rapat kepada banduan yang disahkan positif tidak dijangkiti.

“Keputusan ujian saringan kedua ke atas semua petugas Penjara Reman Pulau Pinang yang dijalankan sebelum ini menunjukkan keputusan negatif.

“Ujian saringan terhadap petugas yang mempunyai kontak rapat dengan banduan positif Covid-19 akan dijalankan dari masa ke masa. Ini kerana petugas-petugas ini antaranya yang akan mengiringi doktor ketika memeriksa banduan yang disahkan positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika memantau persiapan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Reman Pulau Pinang malam tadi.

Menurutnya, ujian saringan terhadap kontak rapat kepada petugas penjara akan mula dijalankan bagi memastikan tiada jangkitan terhadap mereka.

“Ujian saringan akan dijalankan terhadap ahli keluarga yang tinggal satu rumah dengan petugas penjara.

“Selain itu, kita belum mendapat punca jangkitan ini kerana ujian saringan petugas, semuanya negatif. Bagaimanapun, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus menjalankan siasatan selain menjalankan pemantauan dari masa ke masa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya akan berbincang dengan KKM dalam menguruskan pesakit yang menerima rawatan metadon di bangunan berdekatan Penjara Reman Pulau Pinang.

“Hari pertama PKPD yang dijalankan di sini berjalan lancar namun kita mendapati, ada ramai pesakit datang ke Klinik Metadon Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan.

“Perkara ini boleh diselesaikan dan perbincangan akan dilakukan. Saya menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya menggunakan jalan alternatif seperti yang diumumkan selain memberi kerjasama kepada anggota yang bertugas,” katanya ketika ditemui di lokasi PKPD Penjara Reman Pulau Pinang tadi.

Kelmarin, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD akan dilaksanakan ke atas penjara reman dan kuarters kediaman di daerah Timur Laut.

Beliau berkata, perintah berkenaan akan berkuat kuasa pada 15 Oktober yang membabitkan 2,306 banduan, 304 petugas dan keluarga di kuarters kediaman.

Katanya, turut terbabit ialah 220 petugas dan keluarga yang tidak menetap di dalam kuarters.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here