KAJANG – Polis Kajang akan melaksanakan empat sekatan jalan raya di sekitar daerah itu bermula tengah malam ini, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, lokasi sekatan jalan raya itu adalah di hadapan Balai Polis Beranang, Jalan Broga, Jalan Bangi – Nilai dan susur masuk Plaza Tol Bandar Seri Putra.
“Sementara itu, lokasi penutupan kekal (24 jam) adalah di Jalan Genting Peras,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mohd Zaid berkata, tindakan itu adalah bagi mengurangkan pergerakan orang ramai dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.
“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan sepanjang tempoh PKPB dikuatkuasakan,” katanya.
Terdahulu Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan keputusan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan PKPB di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa tengah malam ini hingga 27 Oktober.