Home Koronavirus PM arah MKN nilai semula SOP aktiviti sosial, sukan

PM arah MKN nilai semula SOP aktiviti sosial, sukan

0
PM arah MKN nilai semula SOP aktiviti sosial, sukan

SHAH ALAM – Majlis Keselamatan Negara (MKN) diarahkan menilai semula prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti sosial dan sukan supaya dapat diperketatkan lagi bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, SOP itu perlu dilaksanakan seperti SOP yang digunakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Beliau melahirkan kebimbangan mengenai situasi pandemik Covid-19 di seluruh negara yang masih mencatat peningkatan dalam kes positif walaupun bukanlah peningkatan mendadak.

“Pagi ini saya telah mempengerusikan Sidang Khas MKN berkenaan Covid-19 bagi membincangkan tindakan yang perlu dipertingkatkan bagi mengawal dan menguruskan pandemik berkenaan.

“Kita dapat lihat lebih banyak daerah di Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Johor yang sebelum ini adalah zon hijau, telah menjadi kuning dalam tempoh seminggu atau dua minggu. Begitu juga dengan daerah-daerah yang telah menjadi merah di negeri-negeri tersebut.

“Ya memang tindakan-tindakan yang diambil sebelum ini sedikit sebanyak telah dapat membantu untuk mengawal penularan jangkitan Covid-19. Tetapi situasi sekarang memerlukan pendekatan mitigasi atau intervensi yang lebih cepat dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Justeru, Muhyiddin berharap ia dapat segera dilaksanakan kerana kadar penularan jangkitan pada waktu ini agak membimbangkan.

Katanya, MKN akan membuat pembentangan berhubung cadangan memperketatkan SOP dalam Sidang Khas MKN esok.

“Sementara itu, saya juga bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah untuk meminda SOP PKPD di semua lokaliti yang terlibat di Sabah untuk membantu penduduk terlibat menjalani kehidupan mereka dalam situasi PKPD dengan lebih baik. Perincian berhubung pindaan ini akan dijelaskan oleh MKN.

“Selain itu terdapat juga perkembangan positif yang dilaporkan pada sidang khas hari ini, antaranya penamatan PKPD di lapan penjara setelah tidak ada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 14 hari.

“Tahniah saya ucapkan kepada Jabatan Penjara dan Kementerian Kesihatan Malaysia atas kerjasama yang baik untuk membendung jangkitan Covid-19 di dalam penjara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here