Home Uncategorized PKPD Penjara Alor Setar dilanjutkan sehingga 1 November

PKPD Penjara Alor Setar dilanjutkan sehingga 1 November

0
PKPD Penjara Alor Setar dilanjutkan sehingga 1 November

KUALA LUMPUR – Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi Penjara Alor Setar, Kedah yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan lagi selama 14 hari sehingga 1 November.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan kes baharu yang masih direkodkan di penjara berkenaan selain mengambil kira permohonan Majlis Keselamatan Negara negeri Kedah dan nasihat Kementerian Kesihatan.

“Pelanjutan ini bagi membolehkan pelaksanaan pemantauan dan saringan berterusan, dalam usaha memastikan rantaian Covid-19 diputuskan sepenuhnya di dalam Penjara Alor Setar terutamanya dalam kalangan kakitangan,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian pada sidang akhbar secara maya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan hari ini.

Sebagai rekod, menurutnya sehingga semalam, terdapat 1,178 kes positif koronavirus (Covid-19) melibatkan 1,137 tahanan dan 41 kakitangan penjara berkenaan.

Sementara itu, mengenai tiga kluster baharu di Lembah Klang yang berpunca daripada jangkitan di tempat kerja, Ismail Sabri berkata, isu berkenaan akan dibawa ke sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk perbincangan lanjut.

“Di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat setakat ini kita masih membenarkan pergerakan pekerja untuk bekerja di pejabat atau sektor ekonomi, tetapi seperti saya sebutkan kita mohon majikan membenarkan pekerja bekerja dari rumah, sekarang sudah berlaku kes seperti ini.

“Saya akan bawa dalam mesyuarat sidang khas MKN, supaya mesyuarat boleh buat keputusan apakah tindakan seterusnya bagi pekerja-pekerja yang terus bekerja di syarikat atau perniagaan ini,” katanya.

Bagaimanapun sehingga tindakan baharu diumumkan, Ismail Sabri berharap majikan dapat membenarkan pekerja masing-masing untuk bekerja dari rumah. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here